Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-song berang apabila pengamal media merakamkan gambarnya yang sedang meletakkan sampah di hadapan kedutaan itu malam tadi.

Yu-song, yang fasih berbahasa Melayu berkata pihak media perlu meminta izinnya terlebih dahulu sekiranya mahu mengambil gambar beliau.

"Ini bukan berita yang baik. Tidak perlu keluar di surat khabar, faham? Jangan...jangan ambil (gambar).

"Kalau kami setuju untuk kamu mengambil gambar saya mesti tanya kepada saya, boleh?," katanya kepada media di hadapan kedutaan itu di sini.

Jurufoto Bernama Zulfadhli Zulkarnain yang sedang bertugas apabila disoal Yu-song menjelaskan kepada beliau bahawa mereka hanya menjalankan tugas.

Beberapa pengamal media tempatan dan luar negara yang berkumpul di hadapan kedutaan itu tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar Yu-song bersama dua lelaki yang mengusung keluar sofa untuk dibuang di hadapan premis itu.

Kedutaan Korea Utara yang terletak di Bukit Damansara menjadi tumpuan media sejak kes pembunuhan Kim Jong-nam bulan lepas.

Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang tegang berikutan pembunuhan Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital selepas mukanya disapu dengan bahan kimia, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX semasa menunggu penerbangan ke Macau. -- Bernama