Jemaah haji Malaysia yang mahu membayar dam haji boleh berbuat demikian di kaunter-kaunter Tabung Haji (TH) yang mula dibuka di Madinah, manakala jemaah haji yang belum tiba di Tanah Suci, boleh berbuat demikian di Malaysia.

Pengarah Operasi Kewangan TH di Tanah Suci, Anisuati Yahya berkata jemaah haji boleh membayar dam berkenaan di Tanah Suci sehingga berakhirnya musim haji 1436H.

"Kadar dam haji yang ditetapkan ialah sebanyak SR445 atau RM431 untuk dam kibas, manakala sebanyak SR3,000 atau RM2,990 dikenakan untuk kadar dam unta," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata kadar bagi mengerjakan korban kibas ialah sebanyak SR475 (RM460) manakala kadar untuk korban unta sebanyak SR3,500 (RM3,365).

Kadar dalam ringgit itu telah ditetapkan pada 15 Ramadan lepas, katanya.

Anisuati berkata jemaah haji yang belum tiba di Tanah Suci juga boleh melakukan pembayaran dam di Malaysia sebelum mereka berlepas ke Madinah atau Makkah.

Beliau berkata sebanyak sembilan kaunter dibuka di Madinah iaitu lima kaunter di Hotel Al-Haram dan empat kaunter di Hotel Movenpick, dua daripada tiga hotel yang menempatkan jemaah haji di Madinah. Sebuah lagi hotel yang menempatkan jemaah haji di Madinah ialah Hotel Al-Saha.

Sebanyak 28 kaunter pula akan dibuka di Makkah.

Jemaah haji Malaysia dijadualkan ke Makkah bermula 24 Ogos ini dengan kumpulan terakhir ke Makkah ialah pada 7 Sept.

Anisuati juga berkata jemaah haji juga boleh mengeluarkan wang dengan hanya menggunakan lencana pengenalan diri haji di kaunter-kaunter TH.

"Pengeluaran wang tunai dalam Saudi Riyal adalah mengikut nilai pertukaran semasa Ringgit Malaysia. Kaunter kewangan TH akan dibuka sehingga penerbangan akhir jemaah haji ke tanah air yang dijadualkan pada 27 Okt depan," katanya.