Skip to main content

Malaysia

Isu Kontroversi REE Lynas dibawa ke Parlimen Jun ini - Ahli Parlimen PKR

KUANTAN, 15 Ogos -- Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan, menurut Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) hari ini. Pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama antaranya pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF). LPTA menjelaskan syarat-syarat itu diputuskan setelah kerajaan persekutuan Australia dan kerajaan negeri Western Australia memaklumkan kepad
Wong Chen berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen bagi menggesa kerajaan memastikan operasi Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kontroversi melibatkan Lynas Rare Earths dan industri unsur nadir bumi (REE) Malaysia dijangka dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, Wong Chen berkata, beliau akan membawa isu ini ke Parlimen bagi menggesa kerajaan memastikan operasi Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

Jelasnya, ia susulan tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa kerajaan memastikan operasi Lynas tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya akan membawa isu ini ke Parlimen pada sidang Parlimen 22 Jun ini,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, Wong Chen yang juga Ahli Parlimen PKR-Subang berkata, kerajaan telah mengambil pendirian yang kritis dan lantang terhadap isu Palestin dan Gaza, serta pendirian yang lebih berhati-hati dalam mendesak pengurangan ketegangan konflik dan rundingan damai mengenai perang terhadap Iran.

Walau bagaimanapun, katanya, pendirian ini dilihat tidak selari dengan pengumuman baru-baru ini bahawa Lynas akan membekalkan unsur nadir bumi kepada Pentagon untuk pembuatan senjata.

“Walaupun kerajaan mungkin tidak dapat mengawal apa yang dihasilkan oleh Lynas dan kepada siapa mereka menjual produk mereka, untuk masa hadapan, ia seharusnya menjadi dasar nasional bahawa kita tidak harus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) yang terlibat dalam pembuatan senjata dan kelengkapan perang,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa juga akan menyambung persidangan pada bulan Jun dan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam pada waktu tersebut.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, dakwaan perjanjian Lynas Malaysia Sdn. Bhd. yang dikatakan membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat [Perjanjian DoW], wajar dibincangkan di Parlimen.

Tegasnya, ini kerana isu tersebut melibatkan aset strategik negara.

Beberapa organisasi masyarakat sivil termasuk Greenpeace Malaysia dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan bahawa REE yang diproses di Malaysia berpotensi digunakan dalam teknologi ketenteraan yang berkaitan dengan konflik berterusan di Gaza dan Asia Barat.

Perkara tersebut mencetuskan perdebatan awam berhubung kemungkinan penglibatan tidak langsung Malaysia dalam rantaian bekalan industri pertahanan global, khususnya selepas laporan mengenai hubungan pembekalan Lynas dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DOD).

Sementara itu, jurucakap Gabungan Rakyat Malaysia dan Penyokong Masyarakat Sivil Menentang Perang dan Pelanggaran Kemanusiaan (500 Anti Perang), John Ooh berkata, memorandum yang ditandatangani oleh 500 peserta telah dihantar kepada ahli parlimen yang meminta kerajaan menjalankan siasatan bebas terhadap rantaian bekalan REE Malaysia agar tidak terlibat secara tidak langsung dalam sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa. 

Must Watch Video