KUALA LUMPUR: MCA mendakwa Kerajaan Perpaduan seperti terlepas pandang soal kebajikan rakyat apabila mengenakan cukai pada kadar lapan peratus terhadap perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari secara tergesa-gesa dan mengejut.

Timbalan Setiausaha Agung MCA Datuk Dr Pamela Yong berkata, keadaan itu menunjukkan kerajaan seolah-olah lebih mengutamakan keuntungan berbanding kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Dalam era pasca COVID-19 dan lonjakan kes positif semasa, keutamaan negara dan dunia adalah untuk penjagaan kesihatan serta menyelamatkan nyawa orang ramai.

"Oleh itu, keputusan Kerajaan Perpaduan mengenakan cukai ini bertentangan dengan agenda mengutamakan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Yong menambah, perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari merupakan rawatan perubatan alternatif yang diiktiraf di Malaysia dan dikawal secara rasmi di bawah Kementerian Kesihatan sejak 2016.

Justeru, beliau berpandangan, adalah tidak jelas mengapa kerajaan tergamak mengenakan cukai lapan peratus, yang katanya akan merangkumi perubatan tradisional Melayu, Cina dan India serta homeopati, kiropraktik serta perubatan Islam.

"Bayangkan, ada pesakit terutama warga emas yang memerlukan rawatan alternatif tersebut tiba-tiba perlu membayar lebih susulan tambahan cukai lapan peratus.

"Tidakkah ia membebankan mereka? Sedangkan selama mereka menerima rawatan, tidak pernah dikenakan cukai oleh kerajaan," ujarnya.

Selain itu, Dr Yong berkata, cukai lapan peratus baharu kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan ini sudah tentu akan meningkatkan harga dan menggalakkan kemunculan pasaran gelap.


Pada masa sama, beliau berkata, pengumuman mengejutkan mengenai cukai baharu menjelang tahun baharu sudah pasti melemahkan semangat para pengamal perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari yang sah dan berdaftar serta pesakit mereka.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dilaporkan berkata, semua bentuk perkhidmatan perubatan alternatif yang dikawal selia oleh Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 adalah tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus.

Katanya, undang-undang itu meliputi perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, perubatan Islam, homeopati dan terapi komplementari. 

Sebelum itu, timbul kekecohan susulan pekeliling dikeluarkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan, mengingatkan pengamal tentang kewajipan mengutip enam peratus SST jika memenuhi ambang ditetapkan.

Pekeliling itu juga mengingatkan berhubung program pendedahan sukarela bagi mereka yang mempunyai cukai tertunggak yang berkaitan sejak SST diperkenalkan semula pada 2018, selain mengenai SST yang akan meningkat kepada lapan peratus mulai Mac 2024.