PORT DICKSON: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Beliau berkata, pengurangan peruntukan melibatkan elaun pembangunan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.
 
“Bukan elaun, itu peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen selaraskan dengan Pejabat Daerah dan Pegawai Kemajuan Negeri, tetapi oleh kerana keadaan kekangan ekonomi, saya ingat biarlah kita buat secara beperingkat, jadi dana untuk ahli Parlimen juga terlibat.

“Dia beri contoh awal, oleh kerana Ahli Parlimen sanggup kurangkan, ini bukan sumbangan peribadi, ini sumbangan pembangunan yang diselaraskan oleh Parlimen dan Pejabat Daerah, bagi satu mesej tentang keperluan kita mengawal kewangan negara.

“Ia walaupun ada permohonan supaya tengok, perkara ini yang mendesak kadang-kadang (misalnya) surau rosak atau jalan atau beberapa isu parit, sungai dan ada pihak yang saya rasa penting, kita boleh pertimbangkan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meluangkan masa makan tengah hari di Port Dickson yang turut diiringi oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. 
 
Mengulas lanjut ujarnya, peruntukan yang diselaraskan dengan Pejabat Daerah dan Pegawai Kemajuan Negeri itu akan tetap disalurkan namun secara berperingkat dan mengikut keperluan.
 
Bagaimanapun projek-projek pembangunan dan pembaikan yang memerlukan peruntukan mendesak akan dipertimbangkan segera.
 
Beliau terdahulu mengulas laporan media yang menyatakan peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta pada tahun ini.