Skip to main content

Malaysia

Kawal selia AI, kejuruteraan genetik pada peringkat awal elak kesilapan masa hadapan - Sultan Nazrin

Sultan nazrin shah_BERNAMA
Sultan Nazrin bertitah bahawa sebelum ini dunia gagal mewujudkan kerangka kawal selia sebelum pelaksanaannya, dan menggesa komuniti global tidak mengulangi kesilapan itu dalam mendepani perkembangan teknologi yang semakin pesat pada abad ini. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan peringatan bahawa teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan genetik perlu dikawal selia daripada peringkat awal bagi menghindari kesilapan silam “bina dahulu, kawal kemudian” berulang kembali.

Baginda bertitah bahawa sebelum ini dunia gagal mewujudkan kerangka kawal selia sebelum pelaksanaannya, dan menggesa komuniti global tidak mengulangi kesilapan itu dalam mendepani perkembangan teknologi yang semakin pesat pada abad ini.

Advertisement

“Teknologi berkenaan menuntut usaha kawal selia sejak peringkat awal, bukan selepas ia berlaku. Dan terdapat satu domain paling utama yakni kos kawal selia yang berkemungkinan tidak mampu dipulihkan, iaitu kesihatan planet,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyampaikan Ucaptama Diraja pada majlis pembukaan Forum Putrajaya 2026 yang diadakan bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia, di sini hari ini.

Baginda bertitah meskipun teknologi baharu seperti AI, pengkomputeran kuantum, bioteknologi dan komunikasi termaju menyediakan alat yang ampuh untuk meningkatkan keselamatan, namun ia juga boleh mengubah keseimbangan risiko.

AI berupaya menangkis ancaman siber secara masa nyata dengan lebih pantas mengenal pasti anomali berbanding manusia, selain analitik praktikal mampu meramal risiko bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal, bukannya langkah reaktif (mengambil tindakan setelah berlakunya sesuatu).

Baginda bertitah teknologi rantaian blok menawarkan integriti data yang dipertingkatkan bagi memastikan ketelusan serta mengurangkan penipuan, manakala sistem pengawasan canggih dan teknologi satelit mampu meningkatkan keselamatan awam serta respons bencana.

“Namun, teknologi itu juga mengundang risiko yang serius. Penggunaan AI dalam konteks ketenteraan boleh secara tidak sengaja mencetuskan konflik. Melalui bias automasi, manusia mungkin terlalu bergantung kepada mesin sehingga membenarkan ia (mesin) membuat keputusan hidup dan mati, yang melanggar peraturan moral dan undang-undang,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa kesilapan AI dalam sistem nuklear boleh membawa akibat bencana, manakala di alam siber pula pengkomputeran kuantum menjadi ancaman besar kepada keselamatan dalam talian, dan teknologi deepfake berpotensi menggugat kestabilan masyarakat melalui memutarbelitkan kebenaran.

Sultan Nazrin bertitah infrastruktur penting negara termasuk grid tenaga dan sistem kewangan yang kini semakin mengalami proses pendigitalan serta terdedah kepada risiko yang boleh menjejaskan kedaulatan negara. 

“Pertimbangkan implikasinya: serangan siber ke atas sistem kewangan serantau boleh mengganggu ekonomi merentas sempadan hanya dalam beberapa minit. Kempen maklumat salah boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi. Ketirisan data sensitif boleh menjejaskan kedaulatan negara tanpa perlu ‘satu tembakan pun dilepaskan’,” titah baginda.

Sultan Perak turut menggesa kerjasama ASEAN yang lebih kukuh, khususnya dalam membangunkan kerangka tadbir urus AI, mencerminkan nilai serantau serta memastikan pengagihan manfaat teknologi yang adil.

Baginda bertitah kerjasama serantau, bukan semata-mata persaingan, sebaliknya berperanan sebagai kunci kepada kemajuan yang bermakna dan mampan.

“Keselamatan sebenar terletak pada usaha bersama, bukan bergerak secara bersendirian, bekerjasama dalam kerangka tadbir urus AI yang mencerminkan nilai murni serta melindungi rakyat, dan memastikan kekayaan yang dijana oleh teknologi diagihkan secara adil,” titah Sultan Nazrin.

Forum Putrajaya 2026 adalah sebahagian daripada program DSA dan NATSEC Asia yang mendapat pengiktirafan sebagai antara acara pertahanan dan keselamatan utama di rantau ini, dan menarik penyertaan global serta menjadi platform dialog mengenai isu keselamatan kritikal.

Bertemakan “Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu”, forum tahun ini menumpukan bagaimana kemajuan teknologi pesat membentuk semula strategi pertahanan, kerangka keselamatan dan kerjasama serantau dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video