KOTA KINABALU: Pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan diteliti semula dan akan diperkecilkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata perkara untuk meneliti semula pelaksanaan perintah berkurung itu telah dibincangkan dalam satu mesyuarat operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Tawau semalam.

"Oleh itu, kita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ESSCom telah mencadangkan agar pelaksanaan perintah berkurung itu diperkecilkan dan akan digantikan nama sebagai Kawasan Pergerakan Terhad di kawasan perairan daerah tertentu.

"Buat permulaan kita akan mencadangkan agar kawasan perairan Tawau dikeluarkan daripada perintah berkurung berkenaan kerana kita yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata walaupun kes penculikan di kawasan pantai timur Sabah tidak lagi berlaku, namun pelaksanaan perintah berkurung masih tetap diperlukan.

"Kejadian-kejadian seperti penculikan tidak berlaku sejak lebih tiga tahun lepas disebabkan adanya perintah berkurung dan kawalan keselamatan ketat pihak ESSCom.

"Namun kita hanya mahu teliti semula kawasan pelaksanaannya (perintah berkurung) ada tiga kawasan yang masih menjadi kawasan panas kerana sempadannya berhampiran dengan negara jiran iaitu Sandakan, Lahad Datu dan Semporna," katanya.

Beliau berkata sebelum ini terdapat dua kawasan telah dikeluarkan daripada perintah berkurung iaitu Kudat dan Kota Marudu.

-- BERNAMA