MALAYSIA
Kazakhstan lihat Malaysia sebagai pintu masuk ASEAN, berhasrat perkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan

Sugurbayev berkata, Kazakhstan berhasrat mempelbagaikan eksportnya ke Malaysia melangkaui komoditi tradisional. - Gambar fail/Kedutaan Kazakhstan di Malaysia
KUALA LUMPUR: Kazakhstan melihat Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 sebagai platform untuk memperluas perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, yang dilihatnya sebagai rakan strategik serta pintu masuk ke pasaran ASEAN.
Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, lawatan sulung Menteri Perdagangan dan Integrasi, Arman Shakkaliev ke Malaysia sempena MIHAS 2025 menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
"Malaysia adalah antara rakan terpenting kami di Asia Tenggara dan pintu masuk strategik ke pasaran ASEAN," katanya kepada Bernama pada Selasa.
MIHAS 2025 bakal berlangsung untuk edisi ke-21 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dari 17 hingga 20 Sept.Menurut Sugurbayev, antara acara utama lawatan itu ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara QazTrade dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
"MoU ini akan mewujudkan saluran tetap untuk kerjasama, pertukaran perniagaan dan inisiatif promosi perdagangan bersama," katanya.
Beliau berkata, Kazakhstan berhasrat mempelbagaikan eksportnya ke Malaysia melangkaui komoditi tradisional.
"Kami memberi tumpuan kepada produk makanan diperakui halal, gandum, bijirin, daging, barangan metalurgi dan bahan kimia. Dengan jumlah import makanan Malaysia melebihi US$15 bilion setahun, Kazakhstan boleh menjadi rakan dipercayai dalam menyokong keterjaminan makanan," katanya.
Mengenai pelaburan, beliau merujuk kepada dasar baharu Presiden Kassym-Jomart Tokayev.
"Presiden kami telah melancarkan kitaran pelaburan baharu berasaskan pembuatan, teknologi tinggi dan ekonomi digital, disokong oleh alat dasar yang disemak serta insentif baharu untuk pelabur berfokus teknologi.
Kami melihat potensi kukuh untuk projek bersama dengan Malaysia dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pembuatan, logistik dan ekonomi digital. Dengan kepakaran Malaysia, wujud ruang untuk pemindahan teknologi yang bermakna," katanya.
Duta itu turut menekankan peranan Kazakhstan sebagai hab transit di bawah "Middle Corridor" yang menghubungkan Asia dan Eropah melalui integrasi koridor Utara - Selatan, Timur - Barat, Inisiatif Jalur dan Laluan serta Trans-Caspian.
"Kami memperkenalkan platform digital baharu seperti 'Smart Cargo' untuk memudahkan logistik sempadan, dan kami menjemput firma Malaysia termasuk KTM (Keretapi Tanah Melayu Bhd) dan pengendali pelabuhan untuk menyertai peluang ini," katanya.
Sugurbayev turut menarik perhatian kepada beberapa sektor berpotensi untuk perniagaan Malaysia.
"Kazakhstan sedang melabur US$1 bilion dalam industri berteknologi tinggi, sekali gus membuka peluang usaha sama dalam penyelesaian kecerdasan buatan, platform digital dan aplikasi GovTech. Misi perniagaan yang diketuai MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dijangka melawat Kazakhstan akhir tahun ini," katanya.
Beliau berkata, prospek kerjasama juga wujud dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, automotif, jentera dan bahan termaju, manakala kedudukan Kazakhstan di sepanjang rangkaian rel China - ASEAN di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan menawarkan syarikat Malaysia peluang untuk transit ke Eropah.
"Kejayaan penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Almaty yang membawa lebih 100,000 penumpang pada 2024 boleh membuka jalan kepada kerjasama lebih luas dalam penerbangan, hospitaliti dan pelancongan," katanya.
Bagi menyokong jalinan ini, Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur menganjurkan Sesi Penjaringan Kazakhstan sempena MIHAS 2025.
"Kami bekerjasama rapat dengan QazTrade, Kazakh Invest dan Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC) untuk menghubungkan pelabur Malaysia dengan projek yang konkrit.
Pendekatan kami pragmatik - bergerak melangkaui perbincangan kepada penciptaan peluang sebenar agar perniagaan Malaysia dan Kazakhstan berkembang bersama," kata Sugurbayev.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami