ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

KBS gesa siasatan menyeluruh, tindakan tegas kes buli di IKBN Miri

Astro Awani 22/09/2025 | 15:48 MYT
KBS turut menyatakan bahawa tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di ILKBS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa siasatan menyeluruh dilaksanakan ke atas satu insiden buli yang berlaku di Institut Kemahiran Belia Negara Miri (IKBN Miri).

Dalam kenyataannya, KBS menegaskan pihaknya memandang serius perbuatan tersebut yang dilihat melibatkan isu keselamatan dan disiplin pelajar.

“KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia menyentuh isu keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas kepada semua Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS),” katanya pada Isnin.

Rakaman video tersebut memaparkan insiden membabitkan sekumpulan pelajar IKBN yang mengenakan tindakan kekerasan fizikal terhadap seorang pelajar lain pada 19 September sekitar jam 4.30 petang.

Pihak IKBN Miri hanya menerima laporan menerusi media sosial pada 22 September dan terus mengambil tindakan siasatan segera termasuklah dengan menjalin kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan yang sama KBS turut berpendapat perbuatan buli merupakan ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat.

"Buli bukan sekadar salah laku individu, malah ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat.

"Tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau dibuang akan diambil terhadap pelaku tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa," ujarnya lagi.

KBS turut menyatakan bahawa tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di ILKBS.


#buli #KBS #Miri #media sosial