PUTRAJAYA: Seorang peserta Felo Perdana tahun ini yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan ditamatkan penglibatannya dalam program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, pelajar universiti awam di ibu negara itu telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program berkenaan, namun semakan lanjut mendapati sijil yang dikemukakan bagi satu pencapaian yang disenaraikan adalah tidak tulen.

"Justeru berkaitan isu ini, beliau akan ditamatkan daripada menyertai program Felo Perdana kerana telah melanggar terma perjanjian program," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan semalam susulan tular isu berkaitan peserta Felo Perdana terbabit.

Warga siber mempersoalkan pemilihan seorang Felo Perdana di MITI yang dikatakan terpalit isu kontroversi selain menyenaraikan pencapaian yang meragukan.

Program Felo Perdana merupakan program pementoran dan latihan amali yang bermatlamat melahirkan belia berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara.

Sejak diperkenalkan pada 2013, program itu telah melatih 763 belia terdiri daripada lepasan dan penuntut institut pengajian tinggi.

Bagi edisi 2023, seramai 56 orang telah dipilih dan berkhidmat mulai 23 Ogos hingga 31 Disember ini.

Kesemua mereka telah melalui sesi orientasi pada 20 hingga 22 Ogos lepas di Institut Semarak Felda, Bangi.

Selain itu, menurut KBS individu berkenaan akan ditawarkan untuk mengikuti sesi kaunseling.

"Pada masa yang sama, KBS akan memulakan siasatan untuk memastikan pelaksanaan program ini dikukuhkan lagi pada masa hadapan.

"KBS sentiasa mendukung usaha kerajaan dalam terus memantapkan tatakelola yang baik dalam semua program kerajaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketirisan dalam hal ini," katanya.

Menurut kementerian itu pengambilan semua peserta Felo Perdana telah melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan tapisan keselamatan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

-- BERNAMA