Karnival yang julung kali diadakan ini merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia dengan tema ‘Crafting Holidays’, menawarkan pelancong peluang merasai pengalaman pelancongan yang unik sambil terlibat dalam aktiviti seni, kraftangan, dan warisan budaya.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata karnival ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia merancang percutian domestik, sekali gus menyokong penggiat industri pelancongan tempatan.
“KCCM 2024 bukan sekadar mengenai percutian semata-mata, ia juga berperanan sebagai pemangkin dalam usaha memperkasa ekonomi tempatan kita.
“Karnival ini secara jelas menyediakan platform bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempromosikan produk mereka sambil merancakkan industri pelancongan domestik,” katanya semasa berucap pada majlis Pra Pelancaran KCCM 2024 di ibu negara pada Selasa.
Antara pakej pelancongan yang ditawarkan termasuk destinasi alam semula jadi, pengalaman budaya, dan aktiviti pengembaraan seperti jelajah warisan, sukan air, dan birding.
“Dengan lebih 100 pakej pelancongan yang ditawarkan oleh hampir 100 wakil industri, pengunjung berpeluang menikmati tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus. Ini membuka peluang rakyat Malaysia untuk meneroka setiap sudut di negara kita,” tambahnya.
Selain itu, acara ini turut menampilkan Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik, dengan lebih 30 gerai yang menjual pelbagai produk tradisional.
Karnival ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis, pertunjukan budaya, dan pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional, menjadikannya destinasi ideal untuk seisi keluarga.
Pengunjung turut boleh menikmati kemudahan pengangkutan awam termasuk MRT dan perkhidmatan shuttle yang disediakan bagi memudahkan akses ke lokasi.
Dengan Karnival Cuti-Cuti Malaysia ini, Tourism Malaysia berharap untuk memperhebat promosi pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan sasaran 221 juta pelawat domestik pada 2024.
Penyertaan KCCM 2024 adalah daripada pelancongan negeri, hotel, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, pemilik produk, taman tema, persatuan pelancongan dan pengusaha kraftangan.