KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan pindaan perlembagaan berkenaan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita warga tempatan dengan lelaki warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan segala aturan yang perlu dilaksanakan untuk meminda perlembagaan telah dipatuhi.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara akan menyediakan draf pindaan yang membolehkan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita warga tempatan dengan lelaki warga asing mendapatkan kewarganegaraan.

"Kita bercadang untuk masukkan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali untuk membolehkan anak itu mendapat gelar warganegara, tetapi yang namanya pindaan perlembagaan kita tidak hanya menyentuh satu itu, kita bercadang untuk memasukkan beberapa pindaan yang lain.

"Kementerian telah melakukan beberapa libat urus. Libat urus dengan ahli-ahli Parlimen dari blok sebelah sana juga saya rencanakan dalam masa terdekat sebelum kita bentangkan pindaan ini.

"Baru dua tiga hari lepas kita bentangkan kepada Majlis Raja-Raja kerana aturannya begitu, dalam pindaan menyentuh tentang hal kewarganegaraan Majlis Raja-Raja kita kena taklimatkan, kerajaan Sabah dan Sarawak juga kita perlu libat uruskan.

"Sekarang semua proses itu kita patuhi, kita akan membentangkan kepada mesyuarat jemaah menteri dan seterusnya peguam negara akan melengkapkan draf dan bila dibentangkan di sini," katanya ketika sesi pergulungan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Saifuddin menjelaskan, sebarang pindaan perlembagaan perlu mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan ia dikuatkuasakan.

Katanya, sekiranya ia berjaya dipinda kes seperti Suriani Kempe yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara akan mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

"Perlembagaan ini jalur untuk menjadi warganegara itu ada tiga, pertama kuat kuasa undang-undang, yang kedua pendaftaran, dan yang ketiga naturalisasi.

"Ia di bawah perkara 14,15,16,19 dan 30 Perlembagaan Negara mengenai warganegara, jadi kita akan kemukakan cadangan pindaan itu.

"Sekiranya kita dapat sokongan maka kita boleh selesaikan masalah kewarganegaraan ini," katanya lagi.

Pada 9 Sept 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Namun, pada 5 Ogos 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun sebelumnya bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.