Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji untuk mengemaskini undang-undang berkaitan bahan letupan.

Ia termasuk pembuatan, pengedaran, import dan eksport bahan asas untuk membuat bahan letupan daripada baja ammonia nitrat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata setakat ini tiada akta khas berkaitan pembuatan dan penggunaan ammonium nitrat.

"Kita akan mengkaji terlebih dahulu (undang-undang) dan sekiranya diperlukan, kita akan menggubal undang-undang tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga kurang berkemampuan di Taman Perling di sini, hari ini.

Katanya langkah itu juga bagi mengekang tindakan pengganas yang bertindak membuat bahan letupan sendiri dengan mencampurkan ammonium nitrat bersama bahan kimia lain.

Penggunaan ammonium nitrat kini, jelas Nur Jazlan hanya berada di bawah undang-undang berkaitan baja.

“"Kita (Malaysia) langsung tiada undang-undang khusus. Jadi, sekarang kerajaan, kalau perlu, akan gubal undang-undang baru berkaitan bahan letupan dan mengawal pembuatan, pengedaran, import dan eksport ammonium nitrat.

"Baja ini bila diolah, ia boleh menjadi asas bahan letupan," katanya lagi.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata KDN memandang serius insiden bunga api meletup hingga mencederakan 14 pengunjung ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2017 di tapak Fiesta Gegar Klang 2016 di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang malam tadi.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada penganjur yang mengadakan pertunjukan bunga api supaya menggunakan syarikat berlesen dan memohon permit yang sah dalam tempoh tujuh hari bekerja selain tidak menggunakan nama orang kenamaan dalam majlis mereka.