KUALA LUMPUR:Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti penjenayah yang melakukan serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook Kementerian Dalam Negeri, beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kumpulan penjenayah itu terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.

 
Sumber Facebook kementeriandalamnegeri

"Kejadian berbalas tembakan itu berlaku ketika dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian yang diserang kumpulan penjenayah itu," katanya di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Hamzah dan warga KDN turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan itu.

 
Sumber Facebook kementeriandalamnegeri


Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, terbunuh manakala seorang lagi mengalami cedera parah akibat ditembak sekumpulan penjenayah.


Jenazah Koperal Baharuddin Ramli, 54, dihantar  Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk proses bedah siasat sementara  Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah sedang dirawat di hospital yang sama.

BACA: Berang kawalan sempadan diperketat, sindiket penyeludupan lepas tembakan

BACA: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand