YAN:Sindiket penyeludupan dipercayai melepaskan dua das tembakan amaran kepada sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Tembakan pada jam 6.30 pagi semalam itu yang dilepaskan dari sebelah sempadan negara jiran itu disahkan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan.

"Anggota PGA ternampak seorang lelaki berdiri di tepi pagar keselamatan sempadan sebelum ternampak percikan api dan terdengar letupan.

"Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.

"Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan dua kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian," katanya di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak berkuasa Thailand berjanji akan memberi kerjasama untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan sebagai amaran kepada pihak berkuasa Malaysia yang mengawal ketat sempadan menerusi Op Benteng yang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, Hasanuddin menasihatkan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan negara ini supaya lebih berwaspada ketika menjalankan tugas dan teruskan mengawal ketat kawasan sempadan daripada sebarang ancaman sindiket penyeludupan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.