KDN gesa elak perhimpunan sempena lawatan PM Modi

KDN memaklumkan bahawa PDRM bertanggungjawab memastikan tiada insiden yang boleh mencetuskan kekacauan atau mengganggu ketenteraman awam sepanjang lawatan. - Gambar Facebook KDN
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, hujung minggu ini.
Menurut kenyataan KDN hari ini, pihak polis selaku agensi bertanggungjawab menyusun persiapan keselamatan sempena lawatan itu akan mengadakan pertemuan dengan penganjur satu perhimpunan yang dijadualkan di ibu negara esok.
"Pihak polis akan berjumpa dengan penganjur perhimpunan dan meminta kerjasama mereka untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang," menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab memastikan tiada insiden yang boleh mencetuskan kekacauan atau mengganggu ketenteraman awam sepanjang lawatan yang mencerminkan hubungan diplomatik kukuh serta saling menghormati antara kedua-dua negara.
"KDN melalui PDRM akan terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan tegas bagi menjamin keselamatan rakyat serta kestabilan negara," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, satu himpunan aman berkaitan isu pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dan dilaporkan disertai oleh 141 badan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mencetuskan gangguan semasa negara menerima tetamu.
Fahmi turut berkata kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan keselamatan tetamu negara sepanjang lawatan mereka ke Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


