KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji keperluan mewujudkan penjawatan baharu untuk ditempatkan bagi mengawal selia pintu-pintu masuk di seluruh negara termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu, Sarawak.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian berkenaan dibuat susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk menubuhkan agensi tunggal dan ia memerlukan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Dari semasa ke semasa KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa melihat perkembangan-perkembangan untuk keperluan pegawai. Buat masa ini, Jabatan Imigresen Malaysia telah menempatkan 12 orang pegawai di Lubok Antu dan bilangan tersebut adalah mencukupi untuk menguruskan 5,500 purata pergerakan keluar masuk setiap bulan.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November 2023, pergerakan keluar masuk di ICQS Lubok Antu yang direkodkan adalah Seramai 62,159 orang.

"KDN sedar bahawa bilangan pegawai perlu dipertingkatkan apabila ibu negara Indonesia di Nusantara mula beroperasi dan Jabatan Imigresen Malaysia sememangnya sentiasa menjalankan kajian perjawatan bagi memastikan keperluan pegawai mencukupi dalam menjaga keselamatan pintu-pintu masuk negara," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, mengenai perancangan kementerian untuk menambah jumlah pegawai Imigresen dan polis, yang dilengkapi dengan peralatan dan kenderaan pacuan empat roda, sebagai langkah persediaan bagi mempertingkatkan keselamatan di kawasan Lubok Antu.

Jelas Roy Angau, ia mengambil kira peningkatan jumlah pelawat di kawasan ICQS di Lubok Antu dan laluan jalan tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia.

Menjawab soalan asal Roy Angau mengenai langkah KDN untuk menambah baik bangunan ICQS Lubok Antu pula, Shamsul Anuar berkata, KDN telah memperuntukkan sejumlah RM50.46 juta untuk perolehan perkhidmatan sewaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tempoh tiga tahun di 83 pintu masuk antarabangsa.

Jelas beliau, jumlah tersebut termasuk meliputi perolehan bagi pakej Semenanjung Malaysia sebanyak RM36.3 juta serta Sabah dan Sarawak, yang meliputi ICQS Lubok Antu sebanyak RM18.3 juta.

Kata Shamsul Anuar, proses perolehan CCTV telah bermula pada Oktober lalu.

"Pemasangan CCTV adalah penting dan kritikal untuk pemantauan keselamatan bagi semua ICQS selaras dengan status Kompleks ICQS sebagai kawasan larangan seperti yang diperuntukkan di bawah  Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298)," katanya lagi.