SEPANG: Kerajaan telah memendekkan tempoh permohonan ekspatriat yang berhasrat berkhidmat di Malaysia bagi mendapatkan pelekat pas imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelekat itu boleh diperolehi dalam sehari selepas mereka menjejakkan kaki ke negara ini.

Ia susulan penubuhan Pusat Satelit Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat atau Expatriate Service Division (ESD) yang diperkenalkan mulai hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

ESD antara lain akan mempercepatkan proses pemberian pelekat pas imigresen itu dalam sehari sahaja berbanding 30 hari sebelum ini.

“Dengan adanya sistem ini,  saya dapati seorang pekerja kilang pembuatan besi (misalnya) akan masuk, ambil tiket dan terus pergi ke kaunter dan di kaunter dia serahkan (tiket).

“Dalam masa tidak sampai dua minit dia dapat pelekat, ini membuktikan sesuatu yang paling cepat dalam dunia,” kata Hamzah selepas merasmikan pusat tersebut di sini hari ini.

Pembukaan ESD itu juga katanya akan membawa kepada satu perubahan proses kerja dan penambahbaikan perkhidmatan imigresen yang amat signifikan terhadap ekspatriat.

Ditanya sama ada kemudahan satelit berkenaan akan diperluaskan di pintu masuk lain, Hamzah berkata, buat masa ini kemudahan itu akan digunakan di KLIA kerana kebanyakan ekspatriat yang datang ke negara adalah melalui pintu masuk udara.

Namun, pihaknya akan melihat potensi kemasukan ekspatriat menerusi pintu klia2.