Kementerian Dalam Negeri KDN telah melantik dua ahli baharu bagi Pasukan Petugas Khas berhubung kehilangan dua aktivis sosial, Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

Pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan awam yang menyatakan pasukan itu perlu dilihat lebih bebas dan seimbang.

Kementerian itu dalam satu kenyataannya berkata, dua ahli yang dilantik ialah Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azian Umar dan Pengamal Bebas Undang-Undang, Datuk Roger Tan Kor Mee.

Pelantikan dua ahli baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan ahli termasuk pengerusinya seramai tujuh orang termasuk seorang pegawai polis, Datuk Zamri Yahya.

Selain itu, antara lain yang mengisi keahlian pasukan itu juga termasuk Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di mana keahliannya penting bagi melancarkan urusan Pasukan Khas itu yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis memberi keterangan.

Baru-baru ini, Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor membuat keputusan untuk menarik diri secara sukarela daripada menyertai Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan bagi menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.