KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau beberapa aplikasi al-Quran dalam talian yang berada di pasaran namun tidak mendapat kelulusan dan perakuan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata aplikasi tersebut diguna pakai oleh masyarakat Islam dan dibimbangi akan mengelirukan.

"Beberapa aplikasi al-Quran yang dibangunkan oleh syarikat pembangunan aplikasi tempatan ini tidak mendapat kelulusan dan ada juga yang masih belum membuat permohonan.

"Setakat ini hanya satu aplikasi al-Quran mendapat perakuan KDN iaitu 'Smart Quran' yang terbukti kesahihnya untuk diguna pakai oleh masyarakat Islam di negara ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Nik Yusaimi berkata aplikasi Smart Quran dibangunkan dengan kerjasama KDN dan mendapat kelulusan JAKIM serta berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).



KDN- APLIKASI 2 (AKHIR) KOTA BHARU



"Aplikasi yang tidak diperakukan kerana tidak melalui proses semakan oleh Lajnah Tashih al-Quran Malaysia. Bagi kelulusan ini syarikat penerbitan al-Quran hendaklah dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam.

"Di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986, penerbitan dalam apa jua bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih ayat al-Quran termasuklah aplikasi al-Quran hendaklah mendapatkan perakuan KDN yang perlu melalui proses semakan pakar sebelum berada di dalam masyarakat di negara ini," katanya.

Beliau berkata KDN menyeru syarikat pembangunan aplikasi untuk mengemukakan salinan perisian pruf akhir teks al-Quran kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Teks al-Quran KDN (LPPPQ KDN).

Menurutnya kawalan ini ni perlu bagi menjamin kesucian ayat al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia serta mengelakkan ayat dikelirukan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sehingga kini sejumlah 966 jenis al-Quran di negara ini termasuk al-Quran elektronik yang diluluskan atau diperakukan oleh KDN untuk jualan serta edaran di Malaysia," katanya.

Katanya, KDN sentiasa mengalu-alukan permohonan semakan al-Quran dalam apa jua bentuk bagi tujuan untuk mendapatkan perakuan daripada KDN.

"KDN menyeru orang ramai memberikan kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN serta bercanggah dengan APTQ 1986 (Pindaan) 2023," katanya.

-- BERNAMA