ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyalurkan peruntukan lebih RM2.3 juta bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan penjara dan Pejabat Parol Daerah (PPD) di Kedah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata sejumlah RM1.7 juta diperuntukkan kepada PPD antaranya di Sungai Petani, Kota Setar, Pokok Sena dan Langkawi untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan pejabat parol berkenaan.

"Selain itu peruntukan sebanyak RM685,000 turut diberikan kepada Penjara Alor Setar dan Penjara Sungai Petani untuk tujuan pembaikan kuarters demi keselesaan kakitangan di sana. Ini sebagai usaha untuk melengkapkan kemudahan supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan terbaik.

"Usaha berterusan daripada kementerian akan terus diberikan kerana kami kagum dengan komitmen kakitangan penjara, yang mereka menjadikan penjara ini sebagai pusat latihan bagi memberi peluang kedua kepada semua banduan yang ada di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau terdahulu telah mengadakan lawatan kerja ke Penjara Alor Setar dan program ramah mesra bersama warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kedah hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata terdapat lebih 11,000 keanggotaan RELA di Kedah yang aktif menggalas tugas dan peranan dalam usaha memperkukuh serta menjayakan konsep Malaysia MADANI.

"Kementerian sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan kebajikan RELA ini terus diberi perhatian dan sesungguhnya kami melihat RELA ini sebagai satu jabatan yang penting kepada kita dan negara," katanya.

-- BERNAMA