KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua Ahli Parlimen mengenai cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian sentiasa terbuka untuk melibatkan pelbagai pihak dan pemegang taruh termasuk dalam proses menambahbaikkan POCA.

Jelasnya, dasar yang dipraktikkan KDN bukan 'tutup pintu', tetapi sentiasa sedar pentingnya untuk mendengar pandangan daripada semua pihak.

“Bahawa kita perlu memberi penerangan kepada mereka sebelum kita melakukan ke arah pemindaan. Ia bermula dengan Mahkamah Persekutuan, akibatnya polis tak dapat nak invoke, perkara yang berkaitan dengan isu yang tidak berpelembagaan. Sedangkan polis perlukan akta itu untuk mengawal jenayah walaupun kita ada akta yang lain.

“Jadi, proses itu sudah pun bermula pada KDN dan polis, mereka sedang ke arah itu. Kita perlukan sesi libat urus tetapi dengan Ahli-ahli Parlimen sebab mereka yang akhir sekali akan membuat keputusan," katanya semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke Briged Tengah PGA Cheras di sini, pada Jumaat

Dalam pada itu Saifuddin juga melihat keperluan memberi fokus terus kepada isu yang perlu dibincangkan, iaitu keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 15 tidak berperlembagaan.

Mahkamah Persekutuan pada April 2022 mengisytiharkan klausa dalam Akta POCA 1959 yang mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan sebagai tidak sah.

Berikutan keputusan tersebut, Saifuddin berkata, pihak PDRM tidak mampu melaksanakan POCA, namun akan tetap meneliti sama ada ia menyumbang kepada peningkatan trend jenayah.

“Dalam sesi libat urus itu, jawapan ya (trend jenayah meningkat) kita ada kekangan, ada kekurangan trend jenayah yang bersifat seperti scam, judi dan sebagainya. Ini polemik yang lama," ujarnya.

Sesi libat urus pada Khamis melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.