JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti cadangan membuka semula 'jalan pintas' di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jawatankuasa bersama yang dipengerusikan beliau dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dibentuk untuk meneliti perkara berkaitan mengatasi kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

"Perkara itu memang dalam perhatian KDN dan perbincangan di peringkat jawatankuasa ini sentiasa diberi perhatian termasuk inisiatif untuk memulihkan atau meredakan isu berkenaan.

"Aspek yang disebut tadi merupakan satu daripada perkara yang sedang dalam perhatian. Laluan lori, bas pekerja, kenderaan biasa termasuk motosikal dan pejalan kaki itu semua komponen yang menjadi perhatian kami dalam jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia, malam tadi.

Beliau menambah isu pejalan kaki termasuk jalan pintas antara perkara yang diberi perhatian serius oleh jawatankuasa itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang dipetik sebagai berkata ratusan pejalan kaki termasuk wanita hamil dan warga emas, meminta jalan pintas itu dibuka semula.

Tambah mereka, laluan yang lebih pendek berhampiran Hotel Lion lama (kini dikenali sebagai Hotel Hako) di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam, akan menjimatkan masa kerana mereka kini terpaksa berjalan sejauh 1.5 kilometer mengelilingi CIQ BSI.

Menurut laporan berita itu, ramai merasakan bahawa pembukaan semula jalan pintas itu juga akan menyuraikan lalu lintas dari pusat bandar, yang kini sesak terutamanya pada waktu puncak dan hujung minggu disebabkan kerja-kerja pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang sedang dijalankan.

-- BERNAMA