Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana blog yang mempunyai motif-motif tertentu dalam sebarannya.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, kuasa menyekat blog dan portal terletak sepenuhnya di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, rakyat juga perlu tahu serta jelas skop dan bidang kuasa yang berbeza di antara kementeriannya dengan SKMM.

"Blog bukan kuasa kita, itu kuasa SKMM. Bidang kuasa KDN untuk menutup mana-mana surat khabar yang mempunyai haluan tertentu

"Surat khabar di bawah KDN, blog di bawah SKMM, jadi penilaian kita berbeza," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata demikian ketika mengulas pertikaian sesetengah pihak yang mempersoalkan punca beberapa blog tidak disekat seperti akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial.

Pada Jumaat, The Edge dalam satu kenyataan berkata, KDN melalui satu surat telah menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Kay Tat turut berkata The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.

Dalam pada itu, Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.

Sementara itu, netizen menyifatkan keputusan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan dianggap sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal dan melanggar prinsip kebebasan media.

Ini bukan kali pertama permit akhbar digantung oleh KDN, ketika Ops Lalang yang dilancarkan 27 Oktober 1987, dua akhbar harian, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan dibatalkan penerbitannya.

Lidah rasmi PAS, Harakah dan akhbar millik PKR, Suara Keadilan juga pernah mengalami nasib yang sama seperti The Edge.

Pada 1999, ketika era reformasi sedang memuncak, akhbar Harakah pernah dikurangkan penerbitannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dua tahun lepas, akhbar mingguan The Heat digantung serta-merta oleh KDN dipercayai disebabkan artikel muka hadapannya yang menyentuh perbelanjaan Perdana Menteri.