KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka terjejas kira-kira satu peratus pada bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Atengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun situasi itu tidak seburuk PKP 1.0 yang menyaksikan penutupan sektor sekonomi secara menyeluruh.

"Tentunya akan ada impak dan kami menjangkakan impak kira-kira satu peratus kepada KDNK negara untuk tempoh sebulan pelaksanaan PKP 3.0.

"Kami masih lagi mengkaji, ia masih terlalu awal," katanya dalam sidang media secara dalam talian di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ketika pelaksanaan PKP 1.0, Malaysia kehilangan kira-kira RM2.4 bilion pada setiap hari sementara pada PKP 2.0, dianggarkan RM300 juta hingga RM400 juta untuk tempoh yang sama.

Menurutnya, dengan pelaksanaan PKP 3.0, pertumbuhan KDNK dijangka menyusut kepada 5.0 hingga 6.5 peratus untuk tahun ini, iaitu sedikit rendah berbanding sasaran 6.0 hingga 7.5 peratus yang diramalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Ketika kami membuat ramalan ini, kita tidak menjangka akan ada PKP 3.0," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan PKP 3.0 memberi keseimbangan antara faktor kesihatan dan pemulihan ekonomi, nyawa diselamatkan dan kesejahteraan rakyat dilindungi.