KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan keluaran dalam kasar negara (KNDK) sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) berkembang pada kadar 2.7 peratus setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, situasi itu berlaku disebabkan penguncupan ketara sebanyak 5.6 peratus pada 2020, biarpun negara mencapai pertumbuhan 4.9 peratus setahun dalam empat tahun pertama RMKe-11.

Menurut beliau, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita hanya mencapai RM42,500 atau AS$10,100 pada tahun 2020 iaitu 20 peratus lebih rendah daripada ambang pendapatan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Dalam RMK-11, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion ringgit untuk tujuan pembangunan merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial (26 peratus), keselamatan dan pertahanan (11 peratus) dan pentadbiran am (5 peratus).

“Bagi sektor ekonomi, perbelanjaan terbesar adalah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas. Daripada perbelanjaan ini, 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata, pandemik COVID-19 juga telah menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.

Pada tahun 2020, beliau berkata, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK dan jumlah hutang statutori kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.

“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri.

“Namun, oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, peruntukan pembangunan kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan dan kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh.