KUALA LUMPUR: Masuk hari keempat susulan tragedi gempa bumi di Timur Afghanistan yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa pada Selasa, keadaan di negara itu ketika ini berada pada tahap kritikal.

Ramai mangsa masih terperangkap, ribuan rumah musnah dan bekalan makanan terputus, kata Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat telah mencapai 90 peratus dan usaha itu terus dijalankan kerajaan Taliban yang dibantu penduduk setempat.

"Gempa bumi berlaku kali ini terbesar dalam dua dekad, di mana kalau ikut rekod pada tahun 1998, (bencana seumpanya) telah membunuh lebih 4,500 orang.

"Pada kali ini mengorbankan lebih 1,000 nyawa dan kemungkinan akan bertambah di mana kerajaan Taliban telah maklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat telah capai 90 peratus.

"Namun begitu, dalam laporan kita baca di lapangan mengatakan bahawa ada kawasan sukar dimasuki, ada mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka," katanya.

Tambah Ahmad Fahmi, rata-rata rakyat Afghanistan ketika ini kehilangan tempat tinggal akibat gempa itu.

Lebih membimbangkan, apabila bekalan makanan tidak mencukupi sekali gus memburukkan lagi keadaan.

"Keadaan agak kritikal juga waktu ini dengan cuaca hujan. Kami juga dimaklumkan kebanyakan rumah yang runtuh ialah rumah yang dibina daripada tanah liat, melibatkan kemusnahan lebih daripada 3,000 buah rumah.

"Situasi waktu ini, masyarakat di Afghanistan kehilangan banyak perkara, pertamanya lebih 93 peratus masyarakat Afghanistan sukar mendapatkan bekalan makanan.

"Apa yang terjadi sekarang mereka tiada ruang untuk berlindung, jadi keadaan sekarang sangat menekan, menurut laporan rakan lapangan di kawasan gempa merka kata akses masuk ke kawasan tersebut berhadapan situasi sukar sebab jalan tidak rata," katanya lagi.

Operasi mencari dan menyelamat pula, ujar Ahmad Fahmi, kebanyakannya menggunakan helikopter pengangkut untuk membawa mayat serta mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.

Selain memberikan bantuan di lapangan, menerusi GPM pula ujarnya, telah melancarkan kempen bantuan segera masyarakat Afghanistan dan mensasarkan jumlah bantuan sebanyak RM250,000.

"Kita sedang berhubung dengan rakan-rakan lapangan terutama di Pakistan untuk proses penyaluran bantuan masuk ke Afghanistan.

"Kedua, kita melancarkan kempen bantuan segera kepada masyarkat Afghanistan dengan jumlah bantuan awal kita sasarkan RM250,000.

"Alhamdulilah sebaik sahaja kita lancarkan, ada sebuah pertubuhan iaitu Buddhist International Association telah menghantar sebanyak RM100,000. Itu satu penghormatan dan keprihatian masyarakat umum di Malaysia yang menyambut keperluan kemanusiaan di bumi Afghanistan," katanya lagi.

Tambah Ahmad Fahmi, kesemua dana bantuan itu akan digunakan untuk membeli perubatan, bantuan bekalan makanan sedia ada, serta membeli tilam dan selimut untuk digunakan rakyat Afghanistan yang terkesan.

Di sudut jangka panjang pula katanya, GPM akan mengenal pasti lokasi rumah yang musnah untuk dibina semula bagi menyelesaikan kemelut dihadapi mangsa.

"Jadi di peringkat kita, RM250,000 kita sasarkan untuk bantuan perubatan dan bekalan makanan sedia untuk dimakan dan kita pastikan sekurang-kurangnya mereka mempunyai tilam, selimut dan tempat berlindung.

"Kita akan meneruskan bantuan membina semula rumah, kita akan kenal pasti rumah yang musnah. Kita akan bantu untuk pastikan penyelesaian mapan pada masa hadapan supaya jika berlaku lagi gempa, rumah mereka lebih selamat," katanya lagi.

Dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter, lebih 1,000 mangsa disahkan maut di daerah Barmal, Ziruk, Naka dan Gayan di wilayah Paktika, daerah paling terjejas di wilayah timur melibatkan 255 orang terbunuh dan lebih 200 cedera.

Di wilayah Khost, 25 maut dan 90 dibawa ke hospital.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi itu berlaku kira-kira 44 kilometer (km) dari bandar Khost, berhampiran sempadan Pakistan.