Rakyat Malaysia yang tiba dari Mesir hari ini berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan yang membawa mereka pulang ke tanah air.

Masing-masing yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejurus ketibaan, berkata ini kerana walaupun konflik belum melibatkan kawasan tempat tinggal mereka, keadaan di Mesir semakin buruk.

"Peperangan semakin memuncak, jadi kita ikut sahaja arahan dan pulang ke Malaysia. Mungkin kerajaan tahu konflik akan jadi lebih buruk lagi," kata Muhammad Amirul Afiq, 20, pelajar tahun dua jurusan perubatan di Universiti Kaherah.

Nas Hazim Zainal, 25, pula berkata beliau berdoa untuk pulang ke tanah air kerana takut melihat suasana di sana yang sentiasa diselubungi asap tebal.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin mengenai keselamatan dan kebajikan kami di Mesir," kata penuntut di Universiti Al-Azhar itu.

Pasangan suami isteri Mohd Azrul Azuan Idris, 25, dan Nor Fareeza Azhar, 23 pula berkata pada awalnya mereka tidak berniat untuk pulang, kerana tempat tinggal agak jauh daripada peperangan dan pergolakan.

"Tempat saya duduki boleh kata aman lagi, jadi mula-mula tak nak balik, tetapi tengok keadaan semakin teruk dan ada arahan untuk kembali ke Malaysia, kita pulang," kata Mohd Azrul Azuan.

Pelajar pengajian bahasa Arab, Umairah Nor Azam, 23, pula berkata rata-rata penuntut Malaysia di sana mematuhi arahan Wisma Putra dan tinggal di dalam rumah.

Pelajar tahun satu Pengajian Islam, Zullaeekha Muhd Fauzi, 22, pula berharap untuk kembali ke Mesir bagi melanjutkan pelajarannya sebaik konflik selesai.

Sementara itu, beberapa ibu bapa yang berada di KLIA menunggu kepulangan anak masing-masing, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan.

"Saya risau mengenai keselamatan anak dan menantu di sana. Keadaan di sana semakin buruk, setiap hari saya tengok TV dan baca surat khabar... takut tengok ramai yang dibunuh.

"Alhamdulillah, mereka dah balik selamat. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan semua pegawai yang bertungkus-lumus untuk membawa pulang anak-anak kita di tanah bertuah ini," kata Idris Menhad, 53, sambil menitiskan air mata.

Sebanyak 409 rakyat Malaysia tiba di KLIA pagi ini menerusi tiga penerbangan termasuk pesawat khas AirAsia X.