JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad melawat pusat beli-belah dan hotel yang menerima panggilan ancaman bom pada Sabtu. 

"Keadaan di pusat beli-belah dan hotel adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.

"Keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9).

"Syukur, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Onn Hafiz seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor serta semua pihak yang terlibat dalam usaha menjaga keselamatan negara serta orang awam.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar Negeri Johor terus terpelihara daripada sebarang ancaman mahupun insiden yang tidak diingini," ujarnya.

Pada Sabtu, polis mengesahkan pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di sini, menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing. Keadaan itu menyebabkan ribuan pengunjung dan kakitangan berdepan detik cemas selepas diminta mengosongkan bangunan terbabit.

Bagaimanapun, berdasarkan kerja pengesanan yang dijalankan Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 sejak jam 6.30 petang hingga 11.30 malam Sabtu tidak menemui objek seperti didakwa.

Polis Johor seterusnya mengesahkan panggilan telefon seorang lelaki dipercayai warga asing yang mendakwa meletakkan bom di sebuah pusat beli-belah dan hotel terbabit adalah palsu.


* Kes panggilan bom palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.