Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengadu sakit dada semalam, berada dalam keadaan stabil hari ini.

Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal itu telah menjalani rawatan angiogram pagi ini.

"Datuk (Ahmad Zakiyuddin) dalam keadan stabil dan orang ramai tidak perlu risau, beliau juga telah menjalani rawatan angiogram pagi ini namun saya tidak boleh mengulas lanjut berhubung (rawatan) itu kerana saya belum dimaklumkan keputusannya.

"Berapa lama beliau akan menerima rawatan di sini (HPP) bergantung pada perkembangan keadaan kesihatan beliau," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kursus Perkembangan Penyakit Parkinson di Pulau Pinang, di HPP hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin.

Semalam, Ahmad Zakiyuddin dilapor meminta pemandunya menghantar beliau ke sebuah hospital swasta di Bandar Perda untuk rawatan berikutan rasa kurang sihat sebelum dipindahkan ke HPP dan diletakkan di bawah pengawasan doktor selepas mengadu sakit dada dan dirujuk ke Wad Rawatan Jantung (CRW) HPP untuk rawatan lanjut.

Ahmad Zakiyuddin, 60, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Roslan Saidin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas dan seterusnya dilantik Timbalan Ketua Menteri 1 serta turut memegang portfolio Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri.

Sementara itu, Chow dalam ucapan perasmiannya berkata kerajaan negeri mahu orang ramai mempunyai kesedaran terhadap penyakit parkinson dan memberi sokongan kepada komuniti pesakit parkinson kerana ia dapat membantu untuk membaik pulih kualiti kehidupan pesakit terlibat.

"Saya memahami bahawa tugas untuk mewujudkan kesedaran tentang penyakit parkinson adalah satu cabaran yang sangat besar malah mungkin lebih mecabar kerana ia memerlukan masa untuk orang ramai memahami bahawa ia adalah sejenis penyakit dan bukannya masalah mental," katanya.

-- BERNAMA