MALAYSIA
Keadilan mesti berlandaskan undang-undang, bukan media sosial - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025 dan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Setiap usaha menegakkan keadilan berhubung kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir seharusnya berasaskan hukum dan lunas undang-undang, bukannya berpandukan platform media sosial semata.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu susulan pelbagai berita palsu yang berlegar mengenai kematian mangsa.
“Saya tegaskan, kalau nak tegakkan keadilan, semua mesti ikut asas hukum dan lunas undang-undang, Semua nak tegakkan keadilan, semua nak tahu mengenai apa yang jadi.
"Cuma, kita nak tegakkan keadilan harus berasaskan lunas undang-undang, tidak boleh dengar siapa cakap apa dan berpandukan apa yang dikata di platform media sosial sahaja,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.Saifuddin turut menegaskan kerajaan tidak akan melindungi sebarang butiran terbaharu berhubung kes pelajar Tingkatan Satu itu yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai lalu. selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu sehari sebelumnya.
Menurut Saifuddin Nasution, langkah itu penting bagi memastikan proses undang-undang berjalan lancar demi memberikan keadilan kepada Allahyarham.
Beliau dalam masa sama menasihatkan pengguna media sosial agar lebih berhati-hati dalam penyampaian masing-masing, selain mengingatkan supaya tidak menjadikan penderitaan dialami keluarga Zara Qairina sebagai senjata politik.
Setakat ini, polis telah membuka 21 kertas siasatan berkaitan kes Zara Qairina.
Siasatan juga diperluas merangkumi individu yang didapati memanipulasi isu berkenaan, termasuk menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah yang diterajui Pengarahnya Datuk M Kumar atas tindakan proaktif membawa siasatan ke proses perundangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami