MALAYSIA
Kebakaran hutan Riau: Rokan Hulu catat jumlah tertinggi, 107 titik panas

Wartawan Kompas TV Riau, Atika Azzura berkata, daerah Rokan Hulu mencatatkan 107 titik panas pada hari ini sekaligus mencatatkan jumlah tertinggi berbanding daerah lain. - Gambar/ IG Atika Azzura
PEKAN BARU: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengesahkan sebanyak 259 titik panas menunjukkan kebakaran hutan dan tanah di seluruh Riau telah dikesan.
Ringkasan AI
- Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengesan 259 titik panas menunjukkan kebakaran hutan dan tanah di seluruh Riau, dengan daerah Rokan Hulu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 107 titik panas akibat tiupan angin panas yang kuat.
- Titik panas turut dikesan di daerah lain seperti Rokan Hilir (95), Kampar (10), Pelalawan (7), Siak (15), dan Kota Dumai (17). Pihak berkuasa belum mengesahkan punca kebakaran, namun tanah gambut yang mudah terbakar ketika musim kemarau dikenal pasti sebagai faktor penyumbang utama.
- Asap kebakaran dari Riau telah merentasi sempadan dan memberi kesan kepada kualiti udara di Malaysia. Setakat ini, tiada arahan pemindahan dikeluarkan kerana kebakaran berlaku di kawasan berkepadatan penduduk rendah.
"Namun pada masa ini, kami ingin memaklumkan bahawa Riau mencatat jumlah titik panas atau hotspot terbanyak di Pulau Sumatera hari ini. Hal ini dapat dilihat di kawasan Rokan Hulu, yang mencatat sebanyak 107 titik panas.
"Hal ini didorong oleh tiupan angin panas yang agak kuat di wilayah Rokan Hulu itu sendiri. Bukan sahaja di Rokan Hulu, terdapat juga beberapa lokasi lain di provinsi Riau seperti di Rokan Hilir, Pulau Lawan dan juga Kampar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Katanya, jumlah titik panas diikuti, 95 di Rokan Hilir, Bengkalis (lima), Kampar (10), Pelalawan (tujuh), Kuantan Singingi (dua), Indragiri Hulu (satu), Siak (15), dan Kota Dumai (17).
Atikah berkata, sehingga kini pihak berkuasa belum memberi maklumat terperinci mengenai punca kebakaran hutan di wilayah Riau yang asapnya sudah merentasi sempadan Malaysia.
"Sehingga kini, masih belum ada maklumat yang jelas daripada pihak polis mengenai punca sebenar kebakaran hutan yang berlaku.
"Namun, satu perkara yang pasti, sebahagian besar wilayah Riau diliputi kawasan tanah gambut yang luas, mudah terbakar terutama ketika memasuki musim kemarau seperti sekarang. Keadaan ini turut menyumbang kepada kewujudan banyak titik panas yang sukar dihampiri oleh pihak bomba," katanya
Mengulas lanjut, setakat ini tiada arahan berpindah dikeluarkan memandangkan lokasi kebakaran berlaku di kawasan berkepadatan penduduk rendah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami