PUTRAJAYA: Bermula dengan minat mendalam terhadap angka sejak usia tiga tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyelesaian sifir terbanyak dalam tempoh satu minit.
T. Vishakan melakar rekod berkenaan pada 12 Jun lepas menerusi kategori “Most Multiplication Completed By A Child In One Minute” selepas berjaya menyelesaikan 53 soalan sifir.
Bapanya, K. Thanarajan, 37, berkata kecenderungan anaknya terhadap nombor mula dikesan melalui pemerhatian harian apabila kanak-kanak itu gemar menyebut nombor pendaftaran kenderaan, nombor rumah dan papan tanda lebuh raya.
“Ketika kami dalam perjalanan di dalam kereta, dia akan melihat nombor pada plat kenderaan dan mula mengaitkannya dengan sifir dan operasi matematik lain, selain gemar menyebut sifir secara spontan.
“Apabila merujuk kepada rumah kenalan atau saudara-mara, Vishakan jarang menyebut nama mereka, sebaliknya mengenali dan merujuk mereka berdasarkan nombor rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Thanarajan berkata minat anaknya terhadap subjek Matematik semakin bercambah hasil kekerapan menonton program pendidikan berasaskan angka sehingga mampu mengingati dan memahami konsep nombor dalam kehidupan seharian.
“Kami sedar tahap kebolehan Vishakan apabila dia mampu menjawab sifir pada tahap yang lebih tinggi berbanding usianya, termasuk jadual sifir 21,” katanya.
Susulan itu, beliau dan isteri, J. Mira Sharvina, mengambil langkah menyediakan persekitaran pembelajaran lebih terancang termasuk mendaftarkan Vishakan ke kelas aritmetik bagi mengasah bakatnya.
Langkah tersebut membuka peluang kepada Vishakan untuk menyertai pelbagai program dan pertandingan aritmetik sebelum akhirnya mendapat pengiktirafan MBOR.
Sementara itu, Mira Sharvina menyifatkan kejayaan anaknya sebagai bukti bahawa setiap kanak-kanak mempunyai potensi tersendiri yang wajar diberi ruang untuk berkembang.
“Sebagai ibu bapa, kami hanya cuba memahami perkara yang diminatinya dan memberikan sokongan dengan mewujudkan persekitaran dan peluang buat Vishakan agar boleh pergi jauh lagi dalam bidang yang diminatinya,” katanya.
Beliau berkata rutin harian yang konsisten juga menjadi kunci kejayaan Vishakan termasuk peruntukan masa khas selama satu jam setiap malam untuk aktiviti pembelajaran tanpa gangguan peranti elektronik.
“Walaupun sibuk setiap hari, kami tetap meluangkan masa selama sejam di meja belajar untuknya. Rutin ini bermula sejak Vishakan berusia lebih tiga tahun, ketika mula belajar membaca dan mewarna.
“Isnin hingga Jumaat biasanya diperuntukkan untuk aktiviti pembelajaran mengikut jadual, manakala Sabtu dan Ahad ialah hari bermain dan berehat,” katanya.
Sijil pengiktirafan MBOR itu disampaikan oleh Pegawai Rasmi MBOR Siti Hajar Johor dan V. Menaga kepada Vishakan pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA