Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Kampung Bahagia: Tragedi kemanusiaan, jamin bantuan segera - Mustapha

SANDAKAN, 19 April — Samsudin Musa, 65, melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini, awal pagi tadi.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Samsudin Musa, 65, melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini, awal pagi tadi. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Kebakaran besar yang memusnahkan 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Sandakan awal pagi tadi disifatkan sebagai satu tragedi kemanusiaan yang mendukacitakan seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan telah digerakkan dengan segera ke lokasi berkenaan bagi membantu mangsa.

Advertisement

Beliau berkata operasi agensi tersebut merangkumi proses menyelamat, pemindahan mangsa, pendaftaran, serta penyediaan bantuan awal di pusat penempatan sementara (PPS).

Menzahirkan rasa pilu atas musibah itu, beliau berkata kesedihan yang dialami oleh penduduk Kampung Bahagia turut dirasai seluruh rakyat Malaysia.

"Bayangkan, dalam satu malam ada anak-anak yang kehilangan tempat berteduh, ibu bapa yang kehilangan segala harta benda, dan keluarga yang kini tinggal sehelai sepinggang dengan hanya pakaian di badan.

"Insiden ini bukan sekadar kebakaran, ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang telah memusnahkan hampir 1,000 buah rumah dan menjejaskan ribuan penduduk dalam sekelip mata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha turut memberi jaminan mangsa yang terlibat tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi saat sukar itu.

Beliau berkata Kerajaan MADANI bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan secepat mungkin dengan usaha pemulihan digerakkan penuh komitmen.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah untuk terus bersatu hati menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesejahteraan mereka kerana bantuan fizikal semata-mata tidak mampu mengubati trauma mangsa.

"Dalam saat sebegini, kita tidak boleh biarkan mangsa menghadapi ujian ini sendirian. Insya-Allah, daripada abu ini, kita akan bangkit semula," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video