Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Kg Lok Buta: Patuh arahan pihak berkuasa, elak keciciran bantuan - Warisan

Mohd Shafie Apdal. credit: Facebook/Shafie Apdal
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pematuhan arahan itu penting bagi memastikan tiada keciciran dari segi bantuan yang disalurkan. - Foto Facebook Shafie Apdal
Advertisement

KOTA KINABALU: Para penduduk di Kampung Lok Buta, Numbak Sepanggar yang terjejas akibat kebakaran diharap mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk mendaftar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi urusan bantuan.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pematuhan arahan itu penting bagi memastikan tiada keciciran dari segi bantuan yang disalurkan.

Ketika membuat tinjauan ke kawasan terjejas pada Ahad, beliau turut menyumbangkan bantuan beberapa keperluan asas termasuk makanan dan air bersih kepada penduduk terjejas.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu memenuhi keperluan asas penduduk dalam tempoh awal pasca kebakaran, ketika sebahagian besar masih berdepan kehilangan rumah dan barangan keperluan harian,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, keadaan jerebu yang semakin ketara di Sabah turut menambahkan kebimbangan terhadap keadaan mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara.

Shafie berharap kebajikan golongan yang mudah terjejas, khususnya kanak-kanak dan warga emas, dapat diberikan perhatian sewajarnya susulan keadaan cuaca serta kualiti udara ketika ini.

“Kehilangan rumah dan harta benda sudah cukup berat untuk mereka.

“Dalam keadaan jerebu sekarang, kita harap kebajikan dan kesihatan mereka turut diberi perhatian. Apa yang penting sekarang ialah kita bantu mereka melalui waktu yang sukar ini,” katanya.

Dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 1.30 pagi di Kampung Lok Buta, Numbak itu telah memusnahkan 202 rumah atas air dan mengorbankan tiga kanak-kanak.

Susulan kebakaran berkenaan, Kampung Lok Buta, Numbak diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Dua pusat pemindahan sementara turut dibuka, masing-masing di Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai, menempatkan 134 penduduk daripada 40 Ketua Isi Rumah (KIR).

Must Watch Video

Advertisement