Skip to main content

Malaysia

Kebakaran kilang getah: Tiada bahan pencemar berbahaya dikesan setakat ini

KULAI, 25 Feb -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran di sebuah kilang memproses getah di Sengkang, hari ini._BERNAMA
JBPM Johor menjangkakan kebakaran kilang memproses getah itu dapat dipadamkan sepenuhnya hari ini. - Gambar/ Bernama

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mengesan sebarang bahan pencemar berbahaya setakat ini, susulan kebakaran kilang memproses getah di Sengkang dekat Kulai yang berlaku sejak Selasa lepas.

Menurut JAS dalam hantaran Facebook, kualiti udara di sekitar lokasi kebakaran kilang itu dikesan berada pada tahap yang tidak membimbangkan buat masa ini, namun pemantauan berterusan masih dilaksanakan bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara.

Advertisement

Semalam, Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff melakukan tinjauan ke lokasi kebakaran kilang terbabit dan meneliti pemasangan tiga alat pengawasan kualiti udara di dua sekolah berhampiran untuk mengukur serta mengenal pasti tahap kualiti udara dan kehadiran gas yang mungkin melebihi had dibenarkan.

“Pemantauan kualiti air sungai juga telah dilaksanakan, di samping siasatan awal terhadap pengoperasian premis terlibat,” menurut JAS.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjangkakan kebakaran kilang memproses getah itu dapat dipadamkan sepenuhnya hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata setakat ini, operasi pemadaman hanya tinggal 10 peratus.

"Kita akan buat kerja-kerja overhaul sehinggalah dipastikan tiada lagi api naik dan tidak lagi berlaku kebakaran berulang," katanya pada sidang media ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran, di sini hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan sebanyak 45 anggota itu turut dilaksanakan dengan menggunakan empat jengkaut kerana dikhuatiri masih terdapat api pada sisa kebakaran. 

Muhammad Tarmizi berkata Unit Forensik juga telah memasuki lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang, 24 Feb lepas, dan setakat ini, lima sekolah di sekitar kawasan berkenaan ditutup berikutan masih ada asap tebal serta bau pembakaran yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video