Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Sandakan: Dikelilingi api, Masjid Darus Salam kekal utuh

SANDAKAN, 23 April -- Masjid Darus Salam tetap utuh dan tidak terjejas dari kebakaran yang memusnahkan 1,000 buah rumah di Kampung Bahagia pada Ahad lalu ketika tinjauan hari ini._BERNAMA
Masjid Darus Salam Kampung Bahagia yang terletak berhampiran perkampungan atas air itu, menjadi antara struktur yang terselamat. - Foto BERNAMA

SANDAKAN: Ketika hampir keseluruhan Kampung Bahagia di sini hangus dalam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, sebuah masjid kekal utuh menjadi simbol harapan buat penduduk.

Masjid Darus Salam Kampung Bahagia yang terletak berhampiran perkampungan atas air itu, menjadi antara struktur yang terselamat, walaupun dikepung api dari kiri dan kanan dalam kejadian pada Ahad lepas.

Advertisement

Malah, tinjauan udara menggunakan dron menunjukkan sebuah struktur yang terletak kira-kira satu meter dari masjid itu hangus sepenuhnya, dengan sisa kayu dan zink rentung berselerakan di sekeliling kawasan, manakala masjid itu kekal utuh, sekali gus disifatkan penduduk sebagai satu keajaiban di tengah kemusnahan.

Ketua Kampung Bahagia merangkap pengerusi masjid Sharif Hassim Sharif Titing berkata keadaan itu disaksikan sendiri penduduk, yang menyifatkannya sebagai satu keunikan di luar jangkaan.

“Saya sendiri nampak api mengelilingi masjid, rumah di sekeliling semua terbakar, tetapi masjid ini tidak terjejas langsung.

“Api seolah-olah ‘menolak keluar’ apabila menghampiri masjid. Kami semua yang berada di situ memang hairan, namun bersyukur kerana rumah ibadah ini masih berdiri teguh,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sharif Hassim berkata masjid berkenaan yang telah wujud sejak 1984, dibina seiring penubuhan Kampung Bahagia ketika era pentadbiran bekas Ketua Menteri Sabah Tun Harris Salleh.

Masjid itu, yang berkeluasan 7,520 kaki persegi, mampu menampung lebih 300 jemaah pada satu-satu masa.

Sharif berkata sepanjang lebih empat dekad, masjid itu menjadi nadi komuniti setempat untuk menimba ilmu agama dan sentiasa dipenuhi jemaah, khususnya pada solat Jumaat.

Kini, masjid itu bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan penyimpanan barangan bantuan kepada mangsa kebakaran, mencerminkan peranannya yang terus menjadi nadi komuniti dalam saat sukar.

Mengimbau detik cemas kebakaran, Sharif Hassim berkata laungan azan dari Masjid Darus Salam turut berkumandang selama kira-kira 15 minit, ketika api sedang marak.

Sementara itu, seorang penduduk Dimar Hussein, 46, yang menetap di kampung itu sejak 1984 berkata beliau turut menyaksikan sendiri kejadian berkenaan.

“Dengan mata saya sendiri, saya nampak api mengelilingi kawasan ini. Rumah di belakang habis terbakar, tetapi masjid ini kekal berdiri.

“Memang pelik, tetapi kami anggap ini sebagai kebesaran Tuhan,” katanya yang bekerja sebagai penjual ikan.

Dalam kejadian Ahad lepas, kebakaran besar di Kampung Bahagia telah memusnahkan hampir keseluruhan kawasan perkampungan atas air itu, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video