Seorang lagi remaja lelaki yang pernah ditahan berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa penghuni itu, hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret Umzarul An Nur Umar membuat keputusan itu terhadap Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in, 18 tahun, selepas Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap remaja itu berikutan laporan patologi dari Makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bacaan negatif.

Remaja yang tidak bekerja itu didakwa atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis carbolic acid dan syabu di tandas Pejabat Bahagian Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur pada 11.35 pagi, 16 Sept lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 selama tempoh dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.



Pada 28 Sept lepas, Mohamad Shahrul Nizam yang diwakili peguam Ram Karpal Singh mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu bagaimanapun, mahkamah belum menjatuhi hukuman ke atasnya sementara menunggu laporan akhlak dan laporan kimia.

Semalam, Mahkamah Majistret Kanak-kanak melepaskan seorang remaja 16 tahun yang menghadapi pertuduhan membunuh 21 orang pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Majistret Zilfinaz Abbas juga membebas dan melepaskan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun atas pertuduhan dadah itu selepas laporan patologi yang dikeluarkan Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur mendapati kedua-dua lelaki itu bebas pengaruh dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi, 14 Sept lepas, 21 pelajar dan dua guru yang juga warden asrama maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Susulan itu, dua remaja lelaki yang masing-masing berumur 16 tahun didakwa membunuh 23 penghuni pusat itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Keramat di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi kes itu, Mahkamah Majistret menetapkan 3 Jan depan untuk sebutan semula kes.