PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kebanyakan kes penggunaan dokumen pengenalan diri palsu seperti kad pengenalan, dapat dikesan apabila pemegangnya mencapai usia dewasa atau ketika penukaran daripada MyKid kepada MyKad.

Beliau berkata pihaknya mendapati ada pasangan suami isteri yang mengambil anak angkat tetapi membuat pengisytiharan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa bayi itu adalah anak kandung mereka.

"(Bayi) Kecil lagi kita tidak boleh bezakan tetapi apabila berusia 12 tahun bila wajib buat MyKad, maka waktu itu kita boleh tengok kadang-kadang pasangan itu kulit cerah, tetapi anaknya tidak sama, dari segi fizikal pun kita boleh kenal.

"Ada yang kita kesan setelah mereka besar yang dikesan Jabatan Imigresen (JIM) di pintu masuk negara, bila kita tengok pasport maka timbul syak, bila kita periksa - betul, tidak sama," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata apabila pihaknya berdepan dengan perkara seperti itu, mereka akan menasihatkan pasangan atau individu terlibat untuk membuat kembali membuat pendaftaran kelahiran baharu mengikut saluran undang-undang yang betul.

Ditanya adakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan pada MyKad, beliau berkata ciri-ciri fizikal termasuk keselamatan pada dokumen pengenalan diri itu sudah memadai.

Sementara itu Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias berkata pihaknya sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang penggunaan MyKad palsu.

"Kita tidak nafi dari masa ke semasa kita akan jumpa kes seumpama itu dan kebanyakan kes kita pada hari ini ialah kes-kes lama iaitu melibatkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, berkaitan ibu bapa mendaftarkan bayi yang bukan anak mereka sebenar, didaftar sebagai anak kandung.

"Perkara ini dapat kita kesan apabila kanak-kanak itu berusia 12 tahun dan dari situ kita boleh kesan, contohnya muka tidak seiras dengan ibu bapa dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini, JPN berjaya mengesan 21 kes melibatkan penggunaan kad pengenalan palsu, menerusi 230 operasi di seluruh negara.

-- BERNAMA