BARU-baru ini saya berkesempatan bertemu Sonia Radhawa. Beliau ialah Pemangku Pengarah Pusat Kewartawanan Bebas, yang beribu pejabat di Jalan Pahang Kuala Lumpur. Banyak yang kami bualkan, antaranya mengenai penglibatan wanita dalam bidang kewartawanan - kajian yang sedang dikerjakan beliau untuk memenuhi thesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University of Melbourne. Bukan isu wanita sahaja mengisi pertemuan kami pada hujung minggu lalu itu.

Perbualan kami turut merangkumi isu kebebasan media, hal yang sangat dekat dengan Sonia tetapi kurang difahami saya atas sifatnya yang subjektif. Kata saya kepada Sonia, mungkin media dikatakan tidak bebas kerana tidak mengikut kepentingan pihak tertentu tetapi disekat kerana dibimbangi mencetuskan soal keselamatan dan sebagainya. Namun, saya berpandangan, tidak semestinya media itu perlu lapor apa sahaja tanpa menyiasat kredibiliti sesuatu sumber itu barulah boleh dilabel bebas. Sonia mengangguk, agaknya beliau bersetuju dengan asas itu.


'Hak asasi Rohingya'

Kami turut bertukar-tukar buah fikiran tentang Rohinga, subjek yang sangat rapat dengan saya tetapi diakui Sonia agak kabur pada pandangannya. Akuinya, beliau cuma tahu mengenai sisi pencabulan hak asasi ke atas etnik minoriti ini. Sudah pasti jika isu pencabulan hak asasi dibangkitkan, ia tidak pernah ada yang positif, sebaliknya ia tentang dakwaan kekejaman, ketidakadilan dan pilih kasih dibangkitkan.

 Kanak-kanak pelarian Rohingya berjalan di hadapan khemah mereka ketika hujan turun di kem pelarian Mansi, Sittwe. –Foto AFP


Pertemuan dengan Sonia selama lebih dua jam itu ditutup dengan janji masing-masing akan membantu mempertajamkan ilmu tentang hal yang tumpul - saya tentang kebebesan media manakala Sonia pula bersabit Rohingya serta hak asasi kaum tertindas dari Myanmar itu.

Pada minggu berikutnya, laporan akhbar ada menyebut tentang dua isu yang kami bincangkan. Kebebasan media dan Rohingya. Ia melibatkan dua senario yang amat menarik untuk dianalisis secara bersama.


'Menang Pulitzer'

Apa yang menarik, agensi berita antarabangsa Reuters menang hadiah Pulitzer kerana liputan menyeluruh mengenai hak asasi dan penindasan berpanjangan ke atas Rohingya. Selama beberapa tahun, Reuters, salah sebuah agensi berita terbesar dunia berusaha keras untuk cuba membongkar penindasan yang didakwa dilakukan oleh sebilangan tentera di sempadan Thailand-Myanmar bagi tujuan menyeludup Rohingya. Siri penyiasatan itu - hasil kerja keras wartawan Jason Szep dan Andrew Marshall disiarkan pada Julai tahun lalu.


Seorang pelarian Rohingya berjalan bersama anaknya di kem pelarian Mansi, Sittwe. -Foto AFP


'Tuduhan fitnah'

Tetapi malang bagi Alan Morison - seorang wartawan Australia dan rakannya, Chutima Sidasthian yang berdepan tuduhan jenayah memfitnah di Mahkamah Thailand kerana membuat liputan sama. Mereka berdua akan dipenjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan itu. Morison, bekas Editor Kanan “The Age” dan Chutima - diambil bekerja oleh Reuters untuk menyertai liputan mengenai Rohingya, menyiarkan maklumat secara berterusan sebagaimana laporan dalam Reuters. Laporannya disiarkan di Phuketwan, sebuah laman portal berita yang berpangkalan di Phuket.

Ini bukan kali pertama Morison diberi amaran tentang laporannya disiarkan di media Thailand. Malahan, mengenai isu Rohingya sekali pun, Morison beberapa kali memetik beberapa fakta sebagaimana disiarkan di Reuters mendakwa bahawa beberapa anggota tentera Thailand terbabit dalam rangkaian penyeledupan orang hanyut Rohingya.

Editor laman portal berita berbahasa Inggeris Alan Morison warga Australia bersama rakan sekerjanya warga Thailand, Chutima Sidasathien di perkarangan mahkamah Phuket. -Foto AP


'Laporan meyakinkan'

Berita atau kupasan menyeluruh mengenai Rohingya tidak banyak disiarkan di media. Di Malaysia sekalipun, pernah satu ketika soal Rohingya ini tidak mendapat tempat di media atas sebab kaitannya dengan diaspora dan keganasan. Maka, penyiasatan menyeluruh supaya laporan meyakinkan diperlukan untuk tujuan penyiaran. Pulitzer, anugerah tertinggi dalam dunia kewartawan yang diberikan setiap tahun oleh Columbia University ada piawaian tertentu digariskan sebelum anugerah diberikan kepada mana-mana individu atau pihak yang berhak. Sudah tentu, menyiarkan semula maklumat - walaupun dengan kerja siasatan tambahan, bukan satu pertimbangan dalam lembaga pemilihan Pulitzer.

Pada lapis lain, kerja keras Szep dan Marshall berbayar kerana pada akhirnya, di alaf ini isu Rohingya lebih diketahui dan dipanjangkan kepada pengetahuan dunia. Setidak-tidaknya kita di Malaysia, tidak mengaitkan Rohingya dengan isu meminta sedekah atau pandangan lain barangkali Rohingya cuma cerita bangsa tiada negara, tiada warganegara itu hanya Rohingya.

Masalah Rohingya menjadi isu kerana Myanmar menganggap mereka adalah pendatang daripada Bangladesh. Sedangkan pihak Bangladesh pula menyifatkan mereka sebagai pelarian daripada Myanmar. Kesemua ini berlaku kerana British yang menjajah kedua-dua Myanmar dan India telah membuat sempadan yang menjadikan Arakan sebagai sebahagian daripada Myanmar, dan bukannya negara berasingan. Sedangkan sejak berzaman-zaman, penduduk Arakan bergerak keluar masuk sempadan India dan Myanmar secara bebas. Penderitaan yang ditanggung oleh kaum Rohingya di bawah kuasa junta tentera Myanmar yang menafikan sebarang dokumen kerakyatan kepada mereka menjadi mereka bangsa tanpa negara.


Kaum Rohingya di bawah kuasa junta tentera Myanmar yang menafikan sebarang dokumen kerakyatan kepada mereka menjadi mereka bangsa tanpa negara. -Foto AFP


'Memeriksa data dan fakta'

Maka mereka menjadi pelarian untuk mendapatkan perlindungan di Bangladesh sedangkan negara itu sendiri pun mempunyai masalah sendiri. Pelarian ini akhirnya sampai juga ke Thailand dan Malaysia.

Sementara itu. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mahu pertuduhan ke atas Morison dan Chutima digugurkan. Tetapi, pendakwa raya Phuket Wiwat Kijjaruk memberitahu bukti cukup untuk mendakwa mereka dengan fitnah. Katanya, walaupun hanya menerbitkan semula apa yang dilaporkan dalam Reuters, mereka wajib memeriksa data dan fakta sebelum menyiarkan kepada umum.

Selepas membaca artikel yang dikirimkan Sonia kepada saya (saya percaya kerana isu Rohingya) menerusi laman Facebook, saya membuat kesimpulan : “Saya belajar sesuatu tentang kebebasan media. Saya harap Sonia juga boleh memetik sesuatu mengenai Rohingya dalam latar peristiwa itu.”