KUALA LUMPUR:Kehadiran tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) pada sesi Sidang Dewan Rakyat, disifatkan bukan perkara baharu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengecualian sama telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kes-kes tertentu termasuk melibatkan Pesakit Bawah Siasatan (PUI).

Jelas beliau, kehadiran tiga Ahli Parlimen tersebut akan direkodkan oleh bentara sebelum bentara sama mengiringi mereka ke Galeri Awam untuk proses pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

"Pengenalan diri akan disemak oleh bentara yang berkenaan semasa kehadiran dicatatkan dan juga semasa Ahli Yang Berhormat tersebut bergerak ke dewan untuk mengundi.

"Pengecualian ini bukan (perkara) baharu, sebaliknya sebelum ini pengecualian-pengecualian sama diberikan kepada PUI untuk menghadiri upacara pengebumian atau melawat pesakit di hospital bagi kes-kes kecemasan," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh) yang mahukan penjelasan mengenai rekod kehadiran dan pengenalan Ahli Parlimen berkenaan.

Semalam, tiga Ahli Parlimen berkenaan dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memohon penjelasan berhubung kehadiran tiga Ahli Parlimen tersebut.

Mereka masing-masing ialah  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan; dan P. Prabakaran (PH-Batu).

Menjawab pertanyaan tersebut, Azhar berkata, kehadiran mereka mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketiga-tiga Ahli parlimen berkenaan terlebih dahulu telah menulis surat permohonan kepada Dr Noor Hisham untuk diberikan perlepasan kepada mereka, jelas Azhar.

"Dr Noor Hisham melalui surat bertarikh 14 Disember telah meluluskan permohonan untuk perlepasan masa 'time off' menghadiri undian dengan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya lagi.

Azhar pada masa sama turut memohon maaf kepada Anwar susulan tidak memberikan penjelasan berhubung perkara itu, pada Isnin.