Kebenaran rentas daerah legakan usahawan, penggiat pelancongan di Terengganu

Bernama
Mac 3, 2021 05:43 MYT
RAZALI: Ketengah akan cuba melaksanakannya dengan kesesuaian yang ada demi membantu pertumbuhan ekonomi untuk pengusaha resort dan rumah bot di Tasik Kenyir. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Kebenaran rentas daerah bermula Jumaat ini di Terengganu dijangka mampu memberi ruang kepada pemain industri pelancongan dan usahawan mempelbagaikan aktiviti serta meraih pendapatan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris ketika dihubungi Bernama berkata meskipun ia hanya melibatkan penduduk tempatan namun pihaknya bersedia menganjurkan program bersesuaian untuk menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Kenyir 2021.
"Kita rancang banyak aktiviti secara bulanan, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana COVID-19. Namun Ketengah akan cuba melaksanakannya dengan kesesuaian yang ada demi membantu pertumbuhan ekonomi untuk pengusaha resort dan rumah bot di Tasik Kenyir.
"Hasil perjumpaan saya dengan penggiat industri pelancongan di Tasik Kenyir baru-baru ini, mereka sanggup mematuhi semua peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan asalkan sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti biasa. Alhamdulillah rentas daerah sudah dibenarkan, harapan kita agar kerajaan akan membenarkan rentas negeri pula dalam tempoh terdekat," katanya.
Bagi ejen Redang Lagoon Chalet, Nurul Asyikin Mat Daud pula, kebenaran rentas daerah itu menyaksikan peningkatan tempahan pelancong untuk pakej 'day trip' ke Pulau Redang.
"Kebanyakan pengusaha resort di Pulau Redang masih belum beroperasi sepenuhnya kerana kebanyakan pelancong adalah dari negeri luar, jadi untuk sementara waktu, ramai yang membuka tempahan untuk pakej perjalanan harian sahaja.
"Walaupun pendapatan tidak akan meningkat mendadak, saya tetap lega kerana penduduk Terengganu sudah dibenarkan rentas daerah yang secara tidak langsung membantu pengusaha kecil seperti kami kembali 'bernafas'," katanya.
Senada dengan beliau ialah Penghulu Mukim Merchang, Adnan Ibrahim yang gembira dengan kelonggaran itu memandangkan ramai komuniti setempat bakal memperolehi manfaat ekonomi hasil kebenaran rentas daerah oleh kerajaan.
"Kerajaan negeri bakal melancarkan Merchang Lestari sebagai satu lagi produk pelancongan baharu berasaskan komuniti di Marang. Sudah pasti kami di sini gembira kerana penduduk di daerah lain boleh datang ke Marang untuk menikmati keindahan semulajadi tanah bencah di kawasan ini," katanya.
Bagi pemilik Restoran Umikoi, Khairul Abdullah pula, beliau lega apabila kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri pada waktu ini memandangkan pandemik COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya.
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, jualan di tiga restoran saya akan meningkat apabila rentas daerah dibenarkan. Rasa lebih selamat untuk dibuka rentas daerah dahulu kerana kes COVID-19 di Terengganu tidak begitu banyak berbanding negeri lain.
"Kebenaran rentas daerah ini diharap mampu meningkatkan jualan untuk menampung kerugian sepanjang tempoh PKP yang lalu," katanya yang mempunyai tiga restoran menjual ikan patin masak tempoyak di Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu dengan bantuan 30 pekerja.
Seorang lagi usahawan, Mohd Ridzuan Md Razali berkata beliau yakin kebenaran rentas daerah akan meningkatkan lagi jumlah pelanggan di kedainya untuk mendapatkan khidmat berkaitan komputer.
Pemilik syarikat Pro Clinic Computer di Marang yang telah menjalankan perniagaan membekal, memasang dan menjual perkakasan komputer itu selama 10 tahun, beliau berkata ramai juga pelanggannya yang tinggal di daerah lain mahu menggunakan perkhidmatan syarikatnya kerana yakin dengan kepakaran dan harga yang berpatutan namun tidak dapat datang kerana halangan rentas daerah sebelum ini.
"Bermula Jumaat, tiada lagi peraturan itu, saya harap jualan akan terus meningkat kerana ketika pelaksanaan Proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), ramai ibu bapa membeli peranti untuk anak mereka dan ramai yang memerlukan khidmat tambahan kami terutama berkaitan perisian 'software'," katanya.
-- BERNAMA
#rentas daerah #terengganu #industri pelancongan #usahawan #pendapatan #Ketengah #Lembaga kemajuan Terengganu Tengah #Razali Idris #tahun melawat kenyir #COVID-19 #pandemik