KUALA LUMPUR: Setiap kali tibanya 10 Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia pasti meraikan Aidiladha atau ada juga yang memanggilnya Hari Raya Korban sebagai memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.

Pada Aidiladha kali ini, umat Islam di Malaysia telah membuktikan pengorbanan masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 termasuklah tidak merentas negeri bagi tujuan ziarah yang menjadi kelaziman setiap kali Hari Raya.

Walaupun tiada aktiviti ziarah, kemeriahan Aidiladha kali ini tetap dirasai apabila pihak berkuasa agama negeri masing-masing membenarkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan di masjid dan surau mengikut SOP ditetapkan.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar bersama kira-kira 1,000 jemaah dengan diimamkan imam utama masjid, Badrul Husaini Baharudin.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada 8.40 pagi disambut Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dan turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Ladang, Kuala Terengganu.

Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan adinda baginda Tengku Muhammad Mua'az .

Setiap jemaah mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, merekodkan butiran dan mengimbas suhu badan sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha ketika tinjauan di Masjid Zahir, Alor Setar, hari ini. --fotoBERNAMA

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kekanda baginda Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir menunaikan solat yang dipimpin oleh imam satu Afif Aisar Ahmad ialah pimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Usai solat, Tengku Hassanal berkenan berangkat ke perkarangan masjid bagi menyaksikan ibadah korban seekor lembu dan seekor kerbau yang dikendalikan mengikut SOP termasuk semua petugas penyembelihan telah melakukan ujian saringan COVID-19.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menunaikan solat sunat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau bersama kira-kira 300 jemaah anak-anak kariah Kota DiRaja Arau.

Solat sunat diimamkan oleh Imam Besar Perlis Ahmad Sirajuddin Abdul Satar, manakala khutbah dengan tajuk 'Mencontohi Nabi Ibrahim Dalam Kehidupan' disampaikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan mematuhi SOP ditetapkan.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco Kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid mengajak semua pihak untuk terus berdoa agar COVID-19 dapat diatasi segera.

Siak masjid melakukan sanitasi selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat Aidiladha bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Seksyen 30 Shah Alam hari ini. --fotoBERNAMA

Sementara itu, di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Mujid Kampung Durian Daun, Masjid Tanah bersama kira-kira 100 jemaah yang dipimpin imam satu, Hishamuddin Soleh.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh daerah Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menunaikan solat sunat Aidiladha di kediaman rasmi bersama keluarga.

Di SARAWAK, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunaikan solat sunat AidilAdha di Masjid Jamek di Petra Jaya di Kuching dengan jumlah jemaah dihadkan hanya 500 orang.

Ibadah korban turut ditangguhkan di Sarawak tahun ini, selain ziarah raya, ziarah kubur, jamuan selepas solat, takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat sunat turut tidak dibenarkan.

Di SABAH, tinjauan Bernama menyaksikan bilangan jemaah masjid dan surau bagi solat sunat Aidiladha dikurangkan kepada maksimum 30 jemaah atau yang mana lebih rendah selaras dengan SOP ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui semasa program Ibadah Korban di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran berkata walaupun sambutan Aidiladha pada tahun ini disambut secara sederhana dan kecil-kecilan, namun semangat korban tetap sama.

-- BERNAMA