MALAYSIA
Kebocoran di tapak pelupusan, sisa ternakan punca pencemaran Sungai Air Batu

Punca pencemaran dikenal pasti berpunca daripada kebocoran loji rawatan larut resap di tapak pelupusan Sungai Udang dan sisa ternakan di kawasan lembangan sungai. - Gambar fail/ JAS
MELAKA: Kebocoran pada loji rawatan larut resap di tapak pelupusan sampah Sungai Udang dan sisa ternakan antara punca pencemaran Sungai Air Batu baru-baru ini, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Ringkasan AI
- Punca pencemaran dikenal pasti berpunca daripada kebocoran loji rawatan larut resap di tapak pelupusan Sungai Udang dan sisa ternakan di kawasan lembangan sungai.
- Kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan menambah sel baharu di tapak pelupusan yang dijangka beroperasi Februari 2026, serta berbincang dengan penternak untuk menambah kolam takungan bagi mencegah pencemaran.
- Projek loji Waste-To-Energy (WTE) bernilai RM660 juta dijangka siap selewat-lewatnya 2029, diharap dapat menyelesaikan isu pencemaran dan bau di kawasan sekitar Sungai Udang.
"Tapak pelupusan sampah itu buat masa ini beroperasi melebihi kapasiti apabila menerima kira-kira 800 meter padu sampah setiap hari berbanding kapasiti asal sebanyak 300 meter padu setiap hari.
"Sel baharu itu dijangka dapat menampung jumlah sampah sekali gus dapat mengurangkan risiko berlaku pencemaran di sungai berdekatan," katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek perintis Tabika Kemas Istimewa @ Kemas Hang Jebat yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di Krubong, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga mengadakan perbincangan dengan penternak lembu di lembangan sungai berkenaan untuk menambah kolam takungan bagi mencegah sisa daripada kandang mengalir ke sungai.
Pembinaan projek loji Waste-To-Energy (WTE) di Sungai Udang bernilai RM660 juta yang dijangka siap selewat-lewatnya 2029 menurut beliau juga diharap dapat menyelesaikan masalah pencemaran sungai dan bau di kawasan itu.
Sebelum ini, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka diarah menjalankan siasatan selepas berlaku perubahan ketara pada warna air sungai itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami