Kebolehpasaran tenaga buruh di Pahang meningkat suku kedua 2025

Wan Rosdy bergambar bersama para pelatih yang berjaya dalam bidang pekerjaan pada Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya di Putrajaya, pada Isnin. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kebolehpasaran tenaga buruh di Pahang mencatat peningkatan pada suku kedua tahun ini kepada 783,600 orang, berbanding 768,600 bagi tempoh sama tahun lepas.
Ringkasan AI
- Kebolehpasaran tenaga buruh di Pahang meningkat pada suku kedua tahun ini kepada 783,600 orang berbanding 768,600 orang tahun lepas, disebabkan faktor kestabilan politik, peningkatan produktiviti, dan urus tadbir berintegriti yang memperkukuh keyakinan pelabur.
- Kadar pengangguran di Pahang menurun daripada 16,700 orang kepada 14,000 orang, menunjukkan keberkesanan dasar ekonomi negeri itu yang memberi kesan positif kepada pasaran kerja.
- Pertumbuhan KDNK Pahang mencatatkan 5.7 peratus pada 2024, melampaui paras nasional 5.1 peratus, didorong oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, pengkuarian dan perlombongan, serta pertanian, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik pelabur.
"Saya sentiasa menekankan supaya kadar pengangguran dapat diturunkan. Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran di Pahang menurun daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus pada tahun lepas kepada 14,000 orang atau 1.8 peratus sehingga kini.
"Ini menunjukkan satu petanda yang baik dan kebolehpasaran buruh di Pahang pun semakin meningkat," katanya kepada media selepas Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya di sini, pada Isnin.
Wan Rosdy berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang merekodkan 5.7 peratus pada 2024 iaitu melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai RM 68.7 bilion.
Angka itu katanya dipacu sektor perkhidmatan, pembuatan, pengkuarian dan perlombongan serta pertanian serta turut meningkatkan tarikan pelabur dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
"Sektor pelaburan turut berkembang dengan baik hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus datang dan melabur di negeri ini.
"Untuk tahun ini, sehingga bulan September, pelaburan yang masuk ke Pahang adalah berjumlah RM17.43 bilion, melebihi sasaran tahun ini iaitu RM14.09 bilion," katanya dan menambah kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut yang tidak membebankan rakyat.
Berdasarkan prestasi ekonomi yang positif, Wan Rosdy berkata Pahang kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi.
Sementara itu, beliau berkata, Program Jaminan Kerjaya, anjuran YP Advanced Skills, telah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar pengangguran belia di Pahang.
"Ia merupakan satu inisiatif berkesan dan berimpak tinggi, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI.
"Syabas kepada YP Advanced Skills melalui Yayasan Pahang kerana bermula tahun 2018 sehingga kini, Program Jaminan Kerjaya ini telah memberi peluang kerja kepada golongan sasar iaitu belia, golongan asnaf, Orang Asli dan golongan rentan yang merupakan anak Pahang atau pemastautin di Pahang," katanya.
Beliau berkata, ramai alumni Program Jaminan Kerjaya kini berjaya memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum RM1,700, malah ada yang mencapai pendapatan sehingga RM31,000 sebulan, membuktikan bahawa program itu berjaya mengubah kehidupan peserta ke arah yang lebih baik.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, negeri itu sudah bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir,susulan Monsun Timur Laut yang sedang berlaku ketika ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


