Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak bertindak menyerbu sebuah pusat karaoke di Jalan Datoh di sini yang menggaji warga asing tanpa pas yang sah yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).


Pusat hiburan itu juga disyaki menawarkan khidmat menemani pelanggan untuk dibawa keluar bagi tujuan khidmat seks.


Pengarah Imigresen Negeri Perak , Kamalludin Ismail berkata, berdasarkan maklumat orang ramai dan risikan yang dibuat, pihaknya telah melakukan Op Bersepadu selama dua hari bermula pada Rabu.


Menurutnya, ketika serbuan di pusat hiburan karaoke di Jalan Datoh, GRO sedang asyik melayan pelanggan dalam bilik-bilik di pusat hiburan itu.


“Menyedari kehadiran pegawai operasi, wanita-wanita itu cuba melarikan diri ke bilik rahsia di premis terbabit namun kecekapan pegawai operasi yang dapat menghidu taktik itu telah berjaya menahan kesemua wanita terbabit daripada meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Menurutnya, setiap bilik disewa dengan kadar RM600 menempatkan tiga GRO dan bayaran adalah mengikut warganegara iaitu Thailand dan Vietnam RM75 manakala warganegara China ialah RM88.

dalam operasi dua hari itu, sebanyak 12 lokasi diserbu seperti pusat hiburan karaoke, premis kediaman, restoran dan premis kedai. - Foto JIM

Kamaluddin berkata, dalam operasi dua hari itu, sebanyak 12 lokasi diserbu seperti pusat hiburan karaoke, premis kediaman, restoran dan premis kedai.

Menurutnya, seramai 84 orang telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu, 37 orang telah ditahan melibatkan 11 warganegara Indonesia, 15 wanita Vietnam, 4 lelaki India, masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan Pakistan, seorang wanita Thailand serta seorang wanita China.


Turut ditahan tiga lelaki warganegara tempatan yang dipercayai pekerja di pusat hiburan karaoke yang berumur di antara 36 hingga 46 tahun.


Siasatan awal mendapati kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah, tinggal lebih masa dan melindungi warga asing tanpa pas yang sah.