Kecelaruan politik tidak jejaskan komitmen jentera kerajaan kepada negara

Isabelle Leong
Februari 26, 2020 07:37 MYT
Petugas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan berada di barisan hadapan, menggadaikan kesihatan dan nyawa mereka sendiri demi menjadi dinding untuk melindungi rakyat dan negara. - Foto Kementerian Kesihatan Malaysia
PASTINYA ketidaktentuan politik yang bermula sejak Ahad lalu mencetuskan kekalutan di Malaysia pada ketika ini.
Hari ini memasuki hari keempat kemelut politik negara yang malangnya, belum menampakkan tanda-tanda akan reda.
Persoalan yang timbul adalah bilakah kerajaan akan terbentuk dan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri yang kelapan?
BACA: Apakah kemelut politik semasa selesai dengan PRU15?
Namun, di sebalik segala kekecohan yang berlaku, kehidupan berjalan seperti biasa buat penjawat dan pentadbir awam.
Dalam situasi di mana Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran, jentera kerajaan kekal tenang dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas hakiki mereka.
Ia jelas bahawa kecelaruan politik yang melanda tidak menghalang operasi mereka terutamanya dalam melaksanakan misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China susulan penularan tabak COVID-19.
Kementerian Kesihatan dan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta NADMA melaksanakan urusan yang begitu penting itu dengan lancar biarpun tanpa menteri dan ahli jawatankuasa dalam kementerian-kementerian yang terlibat.
Mereka berada di barisan hadapan, menggadaikan kesihatan dan nyawa mereka sendiri demi menjadi dinding untuk melindungi rakyat dan negara.
BACA: COVID-19: Pengalaman bantu lancarkan misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia -NADMA
Walaupun mereka hanya menjalankan tugas, namun ketekunan dan komitmen mereka wajar dicontohi dan dihargai.
Pihak Astro AWANI ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada penjawat awam yang tidak menghentikan usaha dan cita-cita mereka ketika negara berdepan dengan kemelut politik.
#COVID-19 #jentera kerajaan #kemelut politik #komitmen #Malaysia 2020 #penjawat awam #usaha berterusan #wajar dicontohi