IPOH: Berkahwin dan tiada dokumen sah dikesan menjadi antara faktor penyumbang kepada isu keciciran murid sekolah di negeri ini, terutama bagi tahun 2018 sehingga 2021.

Faktor penyumbang lain adalah kemiskinan, masalah keluarga, masalah kesihatan, tidak berminat terhadap pelajaran, masalah disiplin, masalah pengangkutan ke sekolah, cacat, takut pergi ke sekolah, bekerja dan meninggal dunia.

Demikian dihuraikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud hari ini, memetik hasil dapatan kajian yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bagaimanapun, katanya, tidak semua mereka tercicir daripada mengikuti persekolahan kerana sebahagian besar murid yang keluar daripada sistem persekolahan KPM akan meneruskan pembelajaran ke tempat lain.

Misalnya, ada antara mereka yang meneruskan pembelajaran ke sekolah pondok, sekolah antarabangsa atau sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM seperti madrasah.

Ada juga yang meneruskan pengajian di rumah atau mengikut keluarga berhijrah ke luar negara, tambahnya.

“Purata kadar keciciran yang direkodkan pada 2018 hingga 2021 bagi sekolah rendah di negeri Perak adalah antara 0.03 peratus dan 0.06 peratus.

“Manakala bagi sekolah menengah pula, peratus keciciran murid adalah sekitar 0.7 hingga 0.9, daripada jumlah keseluruhan murid tahun tersebut.

“Peratus yang dinyatakan ini adalah merangkumi murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, melalui rekod Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM),” katanya.

Ahmad Saidi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sandrea Ng (PH-Teja) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, peraturan keciciran bagi Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) mencatatkan 0.85 peratus pada 2018 berbanding 0.72 peratus pada 2019.

Katanya, apabila pandemik COVID-19 melanda, peratusan keciciran bagi SMOA pada 2020 mencatatkan 1.35 peratus manakala 0.82 peratus pada 2021.

Tambah beliau, kehadiran SMOA bagi tempoh sama direkodkan pada 90.15 peratus pada 2018, 91.4 peratus (2019), 87.16 peratus (2020) dan 90.28 peratus (2021).

“Justeru, bagi menangani isu keciciran dalam kalangan murid orang asli, beberapa inisiatif dan usaha dijalankan KPM.

"Antaranya, menyediakan pelbagai bantuan seperti pemberian buku teks secara percuma, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembinaan asrama sekolah supaya semua kanak-kanak dapat bersekolah.

“Selain itu, KPM juga menyediakan biasiswa kepada murid daripada golongan berpendapatan rendah yang cemerlang iaitu Biasiswa Kecil Persekutuan," katanya.

Selain KPM, kata Ahmad Saidi, terdapat juga agensi lain yang menyediakan bantuan kepada murid daripada golongan berpendapatan rendah seperti Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA).

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri juga sentiasa berusaha mengurangkan kadar keciciran dengan mengadakan pelbagai program intervensi seperti Pelaksanaan Amalan Guru Penyayang, Pemantauan Kaunseling Berfokus dan Program Pembangunan Sahsiah Murid,” katanya lagi.