MALAYSIA
Kecuaian dalam siasatan kematian anaknya, ibu model Belanda dibayar ganti rugi RM1.1 juta

Ivana Esther Robert Smit ditemukan maut di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, Kuala Lumpur, lapan tahun lepas. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lepas.
Ringkasan AI
- Mahkamah Perintahkan Ganti Rugi RM1.1 Juta - Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan Malaysia dan pihak polis membayar RM1.1 juta kepada ibu Ivana Smit kerana kecuaian dalam siasatan kematian anaknya yang dijumpai mati di kondominium lapan tahun lalu.
- Kecuaian & Penyalahgunaan Kuasa Disahkan - Hakim mendapati siasatan polis gagal mengikut prosedur yang betul termasuk pengendalian bukti, saksi dan suspek, serta wujud penyalahgunaan kuasa dan pengabaian kaedah forensik moden.
- Siasatan Baharu Diperintahkan - Polis diarahkan membuka semula siasatan, menggugurkan pegawai penyiasat asal, dan melaporkan perkembangan siasatan setiap tiga bulan kepada Jabatan Peguam Negara.
Hakim turut memerintah defendan membayar kos berjumlah RM100,000 kepada plaintif.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar turut mengarahkan Ketua Polis Negara (defendan pertama) supaya menggugurkan Faizal (defendan kedua) daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memulakan kembali siasatan berhubung kematian Ivana Smit seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 2019.
"PDRM diarah memberi taklimat perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula tarikh penghakiman ini manakala AGC perlu mementukan sama ada bukti dikumpul mencukupi serta menetapkan tindakan lanjut yang perlu diambil," katanya.
Dalam membenarkan saman Verstappen, Roz Mawar memutuskan bahawa berlaku pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh defendan serta kegagalan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah.
"Terdapat kegagalan dalam pemeliharaan bahan bukti, pengendalian saksi dan suspek juga tidak mencukupi. Terdapat pengabaian terhadap bukti forensik dan bukti pakar diketepikan. Plaintif merupakan mangsa secara langsung, telah mengalami kemudaratan dan kemudaran itu akibat langsung serta boleh dijangka daripada pelanggaran tanggungjawab oleh pihak defendan," katanya.
Roz Mawar berkata mahkamah juga mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam, iaitu pelaksanaan tugas sah dilakukan secara tidak wajar dan merumuskan bahawa siasatan gagal menggunakan kaedah forensik moden yang mampu memberikan maklumat masa penting berkaitan trauma dialami si mati.
Beliau berkata pada 8 Feb 2018, satu laporan mendedahkan kewujudan asid deoksiribonukleik (DNA) milik warganegara Amerika Syarikat (AS) Alex Johnson di bawah kuku si mati.
“Walaupun terdapat bukti penting ini, kedua-dua Alex dan Luna Almazkyzy (pasangan) dibenarkan meninggalkan Malaysia pada 29 Mac 2018, iaitu hampir sebulan selepas penemuan DNA,” katanya.
Hakim berkata defendan kedua memberi keterangan bahawa walaupun bukti DNA telah diterima dan timbul kecurigaan, tiada tindakan segera diambil untuk menahan suspek atau mana-mana individu disyaki sebelum mereka meninggalkan negara ini.
“Rangkaian peristiwa ini mencerminkan kegagalan asas dalam prosedur siasatan. Kewujudan bukti DNA mengaitkan suspek dengan si mati terutamanya dalam keadaan mencurigakan, sepatutnya mencetuskan tindakan segera dan tegas bagi memastikan suspek tidak terlepas daripada bidang kuasa,” katanya.
Hakim berkata berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada 2019 yang membawa kepada penubuhan pasukan petugas khas, mahkamah mendapati defendan gagal memastikan mekanisme siasatan itu berjalan dengan berkesan serta bertanggungjawab sepenuhnya.
"Bukti menunjukkan pasukan petugas khas itu tidak menghasilkan sebarang dapatan kukuh atau memberikan maklumat terkini yang bermakna kepada pihak berkepentingan khususnya plaintif dan keluarga si mati. Mahkamah mengakui siasatan mungkin mengambil masa untuk mencapai hasil," katanya.
Bagaimanapun, Roz Mawar berkata kelemahan ketara dari segi ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi pasukan petugas khas, ditambah pula dengan ketiadaan kemajuan yang jelas atau komunikasi bermakna, menunjukkan kegagalan dalam mengurus dan melaksanakan mandat siasatan semula dengan sewajarnya.
"Tindakan ini apabila dilihat bersama kelemahan siasatan sebelum ini, menunjukkan satu bentuk kegagalan dalam melaksanakan tanggungjawab statutori yang telah menjejaskan kepentingan sah plaintif untuk mendapatkan penjelasan dan kefahaman berhubung kematian tragis anak perempuannya.
"Kematian wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan mencurigakan sepatutnya mendorong siasatan paling teliti dan profesional. Namun sebaliknya, bukti menunjukkan kegagalan berterusan, ketidakcekapan dan pengabaian terhadap prosedur yang sepatutnya," katanya.
Dalam saman difailkan pada 20 Nov 2020, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017, selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah unit kondominium milik pasangan warga AS iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan 'kematian yang disebabkan oleh individu atau beberapa individu yang tidak dikenali' dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis memulakan siasatan.
Sementara itu, peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Verstappen berkata mahkamah telah bertindak tepat dan berani dalam menangani isu kecuaian, salah laku, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam pengendalian siasatan berhubung kematian tragis Ivana Smit.
"Selepas lebih lapan tahun, persoalan yang tidak terjawab dan perjuangan undang-undang tidak pernah berhenti, keadilan akhirnya ditegakkan, bukan sahaja untuk Ivana dan keluarganya tetapi juga demi keluruhan undang-undang di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami