BANTING: Kedah merekodkan jumlah kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini iaitu 13,502 kes pada 2021.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata jumlah itu meningkat sebanyak 28.4 peratus berbanding 2020 yang berjumlah 10,518 kes.

Beliau berkata jumlah kes penyalahgunaan dadah kedua tertinggi ialah Johor dengan 13,261 kes, diikuti Selangor (12,182); Terengganu (12,033) dan Kelantan (11,843).

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan penagih dadah di negara ini berkurang sebanyak empat peratus pada 2021 iaitu 123,139 daripada 128,325 kes pada 2020," katanya kepada pemberita pada Program Jerayawara sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan di Pantai Morib, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Sade turut mendedahkan peranti vape adalah antara alat yang mendorong kepada ketagihan dadah dalam kalangan generasi muda.

"Berdasarkan dapatan temu bual bekas penagih dadah yang hadir mendapatkan rawatan di AADK, kebanyakan vape menggunakan dadah sintetik seperti syabu yang boleh menyebabkan penagih mengalami masalah mental seperti berhalusinasi dan seterusnya melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

"Kita belum ada kajian berkenaan perkara tersebut kerana apabila seseorang itu menghisap vape, kita tidak tahu ia mengandungi nikotin atau dadah sintetik. Memandangkan kawalan penggunaan vape ini di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), kita telah mengajukan perkara kepada mereka untuk jalankan kajian," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak menyembunyikan ahli keluarga yang ketagihan dadah dan tampil ke AADK untuk mendapatkan rawatan daripada pakar.

"Kita (AADK) telah menjalankan program pemulihan selama 40 tahun dan beratus ribu penagih pulih daripada ketagihan mereka," katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Muhamad Sade berkata program itu memberi fokus kepada peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam memastikan ahli keluarga mereka sedar bahawa penyalahgunaan dadah adalah berbahaya.

Katanya, pengambilan dadah secara berterusan boleh menyebabkan ketagihan dan sukar untuk penagih berkenaan keluar daripada tabiat terbabit kecuali menjalani rawatan dan pemulihan.

-- BERNAMA